fbpx

Garis Panduan Pengambilan Pasir Sungai ditambah baik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tuan Ibrahim sedang memantau kerja-kerja pembaikan jajaran paip Satu di Sungai Terengganu berhampiran Losong Feri, Kuala Terengganu hari ini.

KUALA TERENGGANU – Garis Panduan Pengambilan Pasir Sungai (Pindaan 2020) akan ditambah baik pada masa terdekat bagi memastikan kawal selia aktiviti perlombongan pasir sungai di negara ini dapat dilakukan lebih teratur.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, garis panduan yang terpakai sejak tahun 2015 itu perlu terus dipatuhi bagi memastikan kelestarian alam sekitar.

“Ada beberapa penambahbaikan seperti keperluan penandaan jajaran paip air yang ditanam di dasar sungai.

“Hampir semua negeri mempunyai jajaran paip utama di dasar sungai dan penandaan tersebut bagi memudahkan pengecaman dan penguatkuasaan garis panduan,” katanya selepas meninjau lokasi kerosakan jajaran paip Syarikat Air Terenggganu Sdn. Bhd. (Satu) di Sungai Terengganu di sini hari ini.

Sebelum ini, dua kerosakan paip utama penyaluran air di dalam dasar Sungai Terengganu dalam tempoh sebulan sekali gus mencetuskan krisis air telah dikaitkan dengan aktiviti pengambilan pasir di kawasan berhampiran.

Tuan Ibrahim menegaskan kerajaan negeri perlu sentiasa memantau kepatuhan garis panduan pengambilan pasir tersebut terutama melibatkan had pengambilan dan pengurusan risiko.

Ujar beliau, sebagai pihak bertanggungjawab meluluskan lesen pengeluaran pasir, kerajaan negeri perlu mengambil tindakan undang-undang sekiranya berlaku sebarang perlanggaran dalam aktiviti perlombongan pasir. – K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI