fbpx

Wanita warga asing ambil vaksin guna identiti orang lain

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

MELAKA – Seorang wanita warga Myanmar ditahan di sebuah klinik di sini selepas dipercayai menggunakan identiti individu lain pada aplikasi MySejahtera bagi mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Melaka Superintendan E.Sundra Rajan berkata, suspek berusia 27 tahun itu ditahan kira-kira pukul 2 petang pada 18 Ogos lalu ketika ingin mengambil dos kedua.

Katanya, kejadian itu dikesan apabila mangsa, yang juga merupakan warga asing mendapati MySejahtera didaftarkan menggunakan identiti dirinya telah dikemaskini dengan maklumat penerimaan dos pertama.

“Laporan telah dibuat oleh majikan mangsa mendakwa identiti pekerjanya itu yang berkerja di sebuah syarikat pencetakan di Cheng telah digunakan oleh pihak lain.

“Mangsa yang berusia 30-an dikatakan menyedari perkara itu selepas aplikasi yang didaftarkan menggunakan identitinya merekodkan penerimaan vaksin dos pertama,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, dalam tangkapan tersebut polis merampas satu kad vaksin atas nama suspek, i-kad bertulis Malaysia Immigration Regulations 1963 Visit Pass yang dipercayai palsu, satu salinan kad passport yang telah tamat tempoh dan telefon bimbit suspek.

Jelasnya, siasatan lanjut dilakukan terhadap klinik swasta terbabit mendapati syarikat itu mendapat kelulusan daripada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) untuk memberi suntikan vaksin Covid-19.

“Suspek ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 419 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu dengan jalan samaran dan menggunakan identiti individu lain bagi pendaftaran vaksin Covid-19 melalui aplikasi MySejahtera.

“Suspek turut disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal di negara ini tanpa dokumen sah dan kes telah dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwaan Raya Melaka untuk pertuduhan di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, esok,” katanya. – K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI