BEIJING – Seekor anjing ditemui masih hidup dan sihat walaupun dilaporkan terperangkap dalam satu kejadian tanah runtuh yang berlaku lebih sebulan lalu di perkampungan Cangbaotian dekat wilayah Guizhou baru-baru ini, lapor sebuah laman berita.
Anjing berwarna hitam itu ditemui selamat oleh pemiliknya, Chen Yongen ketika lelaki itu kembali semula ke kawasan kediamannya yang musnah untuk mencari sisa barangan yang masih boleh digunakan.
“Tiba-tiba saya terdengar bunyi salakan anjing dari bawah runtuhan tanah dan ternyata ia adalah anjing peliharaan saya,” kata Yongen.
Menyedari anjingnya masih hidup, Yongen telah meminta bantuan beberapa penduduk kampung untuk membantunya sehingga haiwan itu berjaya dibawa keluar 10 jam kemudian.
Yongen berkata, ketika tanah runtuh berlaku, anjingnya tidak dapat lari menyelamatkan diri kerana telah diikat.
Kisah keajaiban anjing bertuah itu sekali gus menjadi bualan netizen dalam laman sosial.
Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan bagaimana anjing tersebut mampu bertahan walaupun telah terperangkap di bawah runtuhan bangunan selama 37 hari.
Berdasarkan laporan berita China News, anjing itu memiliki berat hanya 5 kilogram (kg) ketika ditemui berbanding berat asalnya sebelum kejadian iaitu seberat 30kg.
Kejadian tanah runtuh yang berlaku pada 8 Julai lalu itu membabitkan 130 buah kediaman penduduk, namun hanya beberapa buah kediaman sahaja yang terselamat. – Agensi