BARCELONA – Barcelona mengumumkan pelantikan Ronald Koeman sebagai ketua jurulatih baharu pasukan itu bagi mengisi kekosongan ditinggalkan Quique Setien yang dipecat baru-baru ini.
Pengendali berusia 57 tahun itu membuat keputusan meninggalkan tugasannya bersama skuad antarabangsa Belanda untuk menandatangani kontrak dengan The Catalan sehingga 30 Jun 2022.
Bekas pengendali Hoffenheim, Alfred Schreuder pula dilantik sebagai pembantu jurulatih kepada Koeman.
“Barcelona telah bersetuju untuk melantik Koeman mengendalikan skuad utama pasukan ini. Sesi memperkenalkan pengurus baharu dan sidang akhbar akan diadakan hari ini,” menurut kenyataan rasmi Barcelona sebentar tadi.
Kekalahan memalukan 2-8 kepada Bayern Munich dalam aksi suku akhir Liga Juara-Juara baru-baru ini menyaksikan pihak pengurusan The Catalan memecat Setien yang baru dilantik pada Januari lalu.
Pelantikan pengendali dari Zaandam, Belanda itu bakal menyaksikan rombakan besar-besaran berlaku dalam kem Barcelona dengan beberapa pemain sudahpun dikenal pasti akan dijual selepas ini.
Sebagai rekod, Koeman pernah memikul tanggungjawab sebagai penolong jurulatih Barcelona sewaktu di bawah kendalian Louis van Gaal dari 1998 hingga 2000. – K! ONLINE