fbpx

Pelbagai barangan kes bernilai RM2.7 juta dilupuskan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ain Arjuna bersama hasil rampasan pada sidang akhbar di Dewan Utama KPDNHEP, Seremban semalam. - Foto MUHAMMAD IZZAT TERMIZIE

Oleh NOR SHAFAWATI YUP

SEREMBAN – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan telah melupuskan pelbagai barangan bernilai RM2.7 juta membabitkan 80 kes yang telah disiasat dan dikenakan tindakan mahkamah serta kompaun.

Pengarah KPDNHEP Negeri Sembilan, Ain Arjuna Aziz Zaman berkata, barangan yang dilupuskan itu merangkumi pelbagai barangan sukan jenama terkenal seperti kasut, baju, sandal serta minuman kopi segera sejak awal Januari tahun ini sehingga semalam.

“Jumlah ini meliputi secara keseluruhan nilai rampasan oleh KPDNHEP Negeri Sembilan bersama cawangan Kuala Pilah dan Port Dickson dengan nilai rampasan tertinggi RM1.32 juta di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 diikuti dengan jumlah sitaan RM1.27 juta bagi Akta Perihal Dagangan 2011,”

“Pelupusan ini bertujuan memberi mesej kepada masyarakat bahawa kementerian memandang serius hal menjaga kebajikan pengguna serta pemilik harta intelek serta bagi mengelak ketirisan yang berlaku akibat penyelewengan barangan bersubsidi sehingga menyebabkan kerajaan mengalami kerugian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Dewan Utama KPDNHEP Negeri Sembilan di sini semalam.

Menurut Ain Arjuna, dalam operasi yang dijalankan ada peniaga dikesan menjual barangan tiruan pada harga pasaran barangan asli dan biasanya pengguna yang tidak mengetahui maklumat produk mudah tertipu.

“Pengguna perlu ada ilmu, jangan ingat barang yang mahal itu berkualiti, sekarang maklumat boleh diperoleh di hujung jari sebaiknya pengguna membuat analisa dan perbandingan harga.

“Pengguna juga boleh membuat carian maklumat di Google bagi memastikan barang yang dibeli adalah asli dan jika mendapat maklumat berlaku salah laku dalam kalangan peniaga jangan diamkan perkara ini,” katanya.

Jelas Ain Arjuna, pengguna dinasihatkan supaya tidak menyokong sebarang bentuk perniagaan yang melibatkan salah laku peniaga kerana nilai barangan tidak setimpal dengan harga ditawarkan.

“Selain itu, tahap kebersihan dan keselamatan barangan diragui serta kualiti barangan (tiruan) yang tidak mencapai standard piawaian,” katanya yang memberitahu sehingga semalam sebanyak 447 kes direkodkan pihaknya atas pelbagai akta.

Dalam pada itu, Ain Arjuna berkata, dalam operasi terbaharu yang dijalankan KPDNHEP Negeri Sembilan bersama cawangan Kuala Pilah dan Port Dickson Isnin lalu, sebanyak RM12,750 jumlah kompaun telah dikenakan terhadap peniaga melibatkan 17 kes.

“Kesemua mereka dikenakan kompaun kerana melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Tidak Mempamerkan Tanda Harga), Akta Timbang dan Sukat 1972 (Tidak Membuat Penentusahaan) dan Akta Perlindungan Pengguna 1999 (Peraturan Bengkel).

“Operasi ini bagi memastikan peniaga patih dengan segala perundangan yang dikuatkuasakan oleh agensi terlibat di samping mengamalkan etika perdagangan yang sihat,” katanya.

Tambahnya, pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) turut menjadi perhatian bagi mengekang penularan Covid-19.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI