JOHOR BAHRU – Sebanyak 1.9 juta bekalan dos vaksin Covid-19 akan diterima negeri Johor dalam usaha mencapai imuniti kelompok penduduk.
Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bertitah bekalan itu akan diterima dalam bulan September ini.
“Sukacita saya ingin maklumkan bahawa Johor akan menerima sebanyak 1.9 juta dos vaksin Covid-19 pada bulan September ini.
“Daripada jumlah dos vaksin ini, sebanyak 1.76 juta adalah vaksin Pfizer,” titah baginda dalam satu kenyataan di laman Facebook hari ini.
Tunku Ismail berkata, dengan bekalan yang diterima nanti, baginda yakin seluruh rakyat Johor akan menerima vaksin tidak lama lagi.
“Bersama-sama kita doakan kejayaan program vaksinasi Covid-19,” titah baginda.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan sejumlah 70,000 dos vaksin akan diterima Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Educity di sini Khamis ini bagi menampung bekalan vaksin untuk rakyat di negeri Johor.
Ini kerana Tunku Ismail menerima laporan bahawa ada dakwaan berhubung kekurangan vaksin dan pembatalan janji temu untuk vaksinasi.
Susulan itu, Tunku Ismail menitahkan supaya Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad, Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Azmi Rohani serta Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Datuk Dr. Aman Rabu menghadap baginda.
Untuk rekod, hanya 46.1 peratus penduduk Johor sudah menerima dos lengkap vaksin, manakala 76.3 peratus lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.- K! ONLINE