fbpx

Saksi kemalangan maut diminta tampil bantu siasatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan sebuah kereta terbabit kemalangan yang terbakar sehingga mengorbankan seorang lelaki dalam kejadian di Kilometer 407 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara dekat Hulu Selangor semalam.- Foto IHSAN PDRM

HULU SELANGOR – Saksi kejadian kemalangan maut melibatkan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) dan sebuah treler di Kilometer 407 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara di sini semalam diminta untuk tampil bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Arsad Kamaruddin berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 5 petang sewaktu mangsa yang memandu kereta jenis Ssangyong sedang dalam perjalanan menuju ke arah Perak dari Kuala Lumpur.

“Ketika melalui kawasan kejadian, kereta dipandu lelaki warga tempatan berusia 52 tahun itu dipercayai telah terbabas sendiri dan melanggar penghadang besi di kiri lebuh raya lalu berpusing.

“Kereta mangsa kemudiannya telah dilanggar oleh sebuah treler yang tidak sempat mengelak di lorong tengah lebuh raya,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Arsad, susulan kejadian itu, pemandu kereta berkenaan tersepit dan terbakar di dalam kenderaan serta disahkan maut di tempat kejadian.

“Mayat telah dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk dibedah siasat dan pengecaman juga telah dibuat oleh pihak keluarga mangsa.

“Pihak polis menyeru orang ramai yang mempunyai apa-apa maklumat mengenai kemalangan ini untuk menyalurkannya agar tindakan selanjutnya dapat diambil,” ujar beliau.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu dengan tidak cermat dan tidak bertimbang rasa.

Terdahulu, Kosmo! Online semalam melaporkan tentang kemalangan maut yang mengakibatkan seorang lelaki rentung apabila dia tersepit di dalam keretanya yang terbakar – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI