fbpx

Koyak al-Quran, buang najis dalam surau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan al-Quran yang dibuang di luar surau di Al Muktafi Billah Shah, Dungun hari ini.

DUNGUN – Seorang bilal yang mahu mengalunkan azan solat Subuh terkejut apabila mendapati Surau Taman Setia Bakti telah dicerobohi dan dicemari dengan kotoran di Al Muktafi Billah Shah (AMBS) di sini hari ini.

Mohd. Azhar Mat Ghani, 43, berkata, dia mengucap panjang apabila mendapati sebahagian sejadah di surau itu dicemari kotoran dipercayai najis manusia manakala dinding itu pula berbau hancing.

“Sewaktu saya dan isteri tiba di surau pada pukul 5.30 pagi, kami nampak pili air terbuka. Masuk dalam surau pula, ada kesan kotoran pada sejadah selain rak menyimpan al-Quran pula berselerak.

“Tambah menyedihkan sebahagian sejadah dan cebisan al-Quran yang dipercayai dikoyak sebelum dicampakkan ke dalam kawasan semak berhampiran kawasan surau,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Mohd. Azhar berkata, dia dan ahli kariah surau tidak pasti pihak yang bertanggungjawab melakukan perbuatan khianat berkenaan.

Tambahnya, ia bukan insiden pertama kerana sebelum ini, beberapa kitab tafsir dan al-Quran di dalam surau tersebut dikesan dicincang pada dua bulan lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah mengesahkan kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan dan Seksyen 497 akta sama. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI