fbpx

Kimia cinta ‘Dimple Couple’ Shin Min-a, Kim Seon-ho

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SHIN MIN-A, KIM SEON-HO

SELEPAS lima tahun tanpa naskhah romantik komedi, aktres popular Korea Selatan, Shin Min-a kini muncul dengan drama terbaharu berjudul Hometown Cha-Cha-Cha.

Aktres yang terkenal dengan julukan Ratu Romantik Komedi itu sebelum ini popular dengan barisan drama seperti Chief of Staff, My Girlfriend is a Gumiho, Oh My Venus dan Tomorrow, With You.

Menurut Min-a, tawaran untuk membintangi drama Hometown Cha-Cha-Cha menjadi satu rezeki yang tidak dapat ditolaknya, sementelah dia sememangnya sedang mencari sebuah naskhah genre sedemikian yang berkualiti.

“Ketika membaca skripnya yang ditulis dengan begitu baik dan ceritanya juga menarik, saya jadi sangat tertarik dengan karya ini.

“Sebab utama saya sahut tawaran ini adalah tarikan yang ada pada karakter Yoon Hye-jin. Sebelum ini saya telah berlakon dalam beberapa buah karya berbeza genre untuk menunjuk kebolehan lakonan.

“Sekarang saya mahukan sebuah karya yang dekat dengan penonton dan memberi rasa yang segar. Sebab itu saya membuat keputusan untuk menyertai produksi Hometown Cha-Cha-Cha,” kata Min-a ketika sesi sidang media secara virtual dari Korea Selatan baru-baru ini.

 

GANDINGAN Shin Min-a dan Kim Seon-ho menerusi Hometown Cha-Cha-Cha cukup menjadi apabila karya tersebut terus berada di carta teratas untuk kedua-dua episod selepas mula ditayangkan pada 28 Ogos lalu.

Tambah wanita berusia 37 tahun itu lagi, keistimewaan drama Hometown Cha-Cha-Cha yang merupakan karya remake daripada filem Mr.Hong ialah setiap watak dalam karya arahan Yoo Je-won itu cukup hidup dan sama penting dengan watak utama.

Selain itu, lokasi penggambaran yang terletak di sebuah perkampungan nelayan juga memberi suasana berbeza buat Min-a dan seluruh tenaga produksi.

“Saya mempunyai masa yang seronok ketika penggambaran, walaupun dalam cuaca yang agak panas, tetapi pemandangannya cukup indah dengan desiran ombak.

“Setiap watak dalam drama ini mempunyai cerita sendiri dan cukup hidup. Jadi, bagi saya drama ini sangat menarik dan berbeza kerana tidak tertumpu kepada perjalanan watak pelakon utamanya sahaja,” jelas Min-a.

Saling melengkapi

Bercakap tentang keserasiannya bersama aktor gandingan Kim Seon-ho yang memegang watak Hong Doo-shik, jelas Min-a dia terkejut dengan bakat yang dimiliki aktor itu.

Terangnya, seperti watak Doo-shik, seorang penganggur yang melakukan pelbagai pekerjaan di perkampungan nelayan tersebut, begitulah Seon-ho yang dilihat sebagai seorang lelaki serba boleh.

BAGI Min-a, dia tidak melihat ada sebarang persamaan wajah antara dirinya dengan Seon-ho seperti didakwa peminat.

“Saya agak terkejut dengan Seon-ho kerana dia boleh melakukan semua perkara dengan baik sama seperti wataknya di dalam drama.

“Dia juga bersyukur kerana sentiasa membuatkan saya berasa selesa di set penggambaran. Jika kami menghadapi sebarang masalah, kami akan bekerjasama dan menyelesaikannya dengan segera.

“Minda kami seperti boleh bercakap antara satu sama lain tanpa kami mengeluarkan kata-kata,” jelas Min-a sambil ketawa.

Sambung Min-a lagi, keserasian antara mereka begitu mudah terbina mungkin kerana sejak penggambaran bermula, seluruh tenaga produksi dan barisan pelakon tinggal di tempat sama sehingga tamat penggambaran.

“Bayangkan sejak penggambaran bermula kami semua bangun dan tidur dalam satu tempat yang sama.

“Kami tidak boleh keluar daripada set penggambaran. Semua aktiviti tidak kira ketika bekerja atau selepas tamat penggambaran dilakukan bersama-sama.

“Jadi, hubungan menjadi rapat dan akhirnya kami menjadi sebuah keluarga yang besar.

“Secara automatik keserasian itu akan timbul dengan mudah,” ujar Min-a.

BIARPUN pertama kali bergandingan dengan Kim Seon-ho, namun Shin Min-a gembira kerana aktor itu membuatkannya berasa selesa sepanjang masa.

Dalam pada itu, Seon-ho juga cukup senang apabila peminat menggelarkan mereka sebagai ‘Dimple Couple’ atau pasangan berlesung pipit kerana kedua-dua mereka memiliki lesung pipit.

“Saat kami mengadakan sesi fotografi ramai mengatakan wajah kami agak mirip dan serasi antara satu sama lain. Saya gembira mendengarnya,” kata Seon-ho.

Min-a pula memiliki pendapat yang berbeza dan merasakan wajah mereka tidaklah semirip seperti yang dikatakan peminat.

“Saya tidak rasa wajah kami sama, tetapi ketika kami melakukan sesi fotografi, saya dapat rasakan yang kami memang serasi.

“Mungkin itu yang akan membuatkan peminat tertanya-tanya bagaimana keserasian kami di dalam drama. Jadi, semua orang harus menonton drama ini,” tutur Min-a.

Populariti Seon-ho

Biarpun nama Seon-ho hanya mula menjadi sebutan selepas membintangi drama Start-Up pada tahun lalu, dia sebenarnya memiliki profil seni yang cukup meyakinkan.

Aktor berusia 35 tahun yang merupakan graduan Seoul Institute of the Arts itu memulakan langkah seni dengan pementasan teater pada tahun 2019 menerusi naskhah New Boeing Boeing.

Penggambaran drama Hometown Cha-Cha-Cha dilakukan di sebuah perkampungan nelayan di daerah Pohang. Lokasi tersebut cukup indah dan membuatkan Seon-ho ingin kembali ke sana untuk bercuti.

Justeru, tidak hairanlah Seon-ho kini antara aktor lelaki yang cukup popular dan telah menerima beberapa anugerah antaranya, Best Emotive Award (Asian Artist Awards), Model Star Award (Asia Model Awards 2020) dan TikTok Popularity Award (57th Baeksang Arts Awards).

Lebih menarik, selepas membintangi drama Start-Up pengikut Instagramnya meningkat secara mendadak daripada 400,00 kepada 4 juta pengikut dalam tempoh hanya tiga bulan selepas drama tersebut disiarkan. Terkini dia memiliki seramai 5.4 juta pengikut.

“Bagi saya, tahun 2020 adalah tahun yang cukup bertuah seumpama hadiah. Bermula dengan program 2 Days & 1 Night sehingga Start-Up saya dihargai dan mengenali begitu ramai orang.

“Saya berasa tidak layak untuk menerima kasih sayang yang diberikan oleh peminat. Namun, momen tersebut cukup istimewa membuatkan saya sedar begitu ramai orang menyokong saya di belakang, jadi saya harus buat yang terbaik,” tutur Seon-ho.

Digandingkan dengan Min-a dalam drama Hometown Cha-Cha-Cha, Seon-ho sedar tanggungjawab berat yang terpikul di bahunya, sementelah ini merupakan kemunculan semula Min-a dalam genre romantik komedi selepas lima tahun.

PERTAMA kali bergandingan, Shin Min-a dan Kim Seon-ho diberi jolokan ‘Sikhye Couple’ oleh peminat yang dirujuk untuk sejenis pemanis mulut iaitu minuman berasaskan beras, sikhye selain pangkal nama watak masing-masing, Hye-jin dan Doo-shik.

Demi memberi yang terbaik, Seon-ho mengambil masa melakukan persediaan sebelum memasuki set penggambaran dengan mempelajari pelbagai skil baharu mengikut tuntutan watak Hong Doo-shik.

“Sesuatu yang menyeronokkan dapat membawakan pelbagai karakter dalam satu watak. Walaupun Doo-shik tiada pekerjaan tetap, dia melakukan pelbagai kerja dan memiliki pelbagai kemahiran.

“Saya mengambil kelas meluncur dan membuat kopi daripada barista. Walaupun memiliki banyak bakat, tetapi Doo-Shik tidak memiliki apa-apa yang boleh dipanggil sebagai kerjaya.

“Cuma Doo-Shik begitu dekat dengan jiran-jiran dan dia sering membantu penduduk di perkampungan nelayan tersebut. Watak ini membuatkan saya terfikir yang kita sebenarnya mampu melakukan apa sahaja,” kongsi Seon-ho.

Tambah Seon-ho lagi, ketika penggambaran, pengarah tidak kisah tentang wajahnya di hadapan kamera kerana mahukan watak yang kelihatan begitu hidup.

“Semasa saya menjadi Doo-shik pengarah tidak kisah andai rambut saya kelihatan seperti sarang burung atau kolar baju saya senget ditiup angin, kami teruskan penggambaran.

“Seronok dapat berkarya dalam suasana bebas dan realistik,” tutur Seon-ho yang juga seorang penyanyi.

Drama Hometown Cha-Cha-Cha terbitan tvN yang dibintangi Min-a, Seon-ho dan Lee Sang-yi telah mula menemui penonton menerusi platform penstriman digital, Netflik bermula 28 Ogos lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI