PUTRAJAYA – Pembayaran Bantuan Khas Covid-19 (BKC) kepada 10 juta penerima layak terdiri daripada miskin tegar, B40, M40 dan golongan bujang akan disegerakan dengan proses pengkreditan fasa 1 dijadualkan bermula Isnin depan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, proses pembayaran fasa 1 itu akan dibuat secara berperingkat kepada kumpulan sasar berkenaan dan dijangka selesai pada 10 September depan.
Beliau berkata, dana berjumlah RM3.1 bilion telah disalurkan kepada institusi perbankan berkaitan hari ini bagi membolehkan pembayaran itu dapat disegerakan.
Katanya, pemberian BKC mengikut kadar dan kategori penerima seperti yang diumumkan sebelum ini dengan pembayaran dibuat secara berperingkat mengikut kategori masing-masing.
“Bagi isi rumah kategori miskin tegar, mereka bakal menerima bantuan sebanyak RM1,300 melalui tiga fasa dengan amaun RM500 (fasa 1), RM500 (fasa 2) dan RM300 (fasa 3).
“Individu bujang dan warga emas sebatang kara kategori miskin tegar pula masing-masing akan menerima bantuan RM200 (fasa 1) dan RM300 (fasa 2),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Perdana Menteri berkata, isi rumah kategori B40 akan menerima bantuan keseluruhan sebanyak RM800 membabitkan amaun RM500 (fasa 1) dan RM300 (fasa 2).
“Bujang dan warga emas sebatang kara kategori B40 akan menerima bantuan sebanyak RM200 dalam fasa 1.
“Isi rumah kategori M40 pula menikmati bantuan sebanyak RM250 manakala bujang atau warga emas sebatang kara kategori sama masing-masing menerima RM100. Bayaran ini dalam fasa 1,” katanya.-K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929