fbpx

Kes Covid-19 Pulau Pinang melonjak selepas Fasa 2 PPN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Norlela pada Sidang DUN Pulau Pinang di George Town hari ini.

GEORGE TOWN – Kira-kira 70 peratus daripada keseluruhan kes Covid-19 yang dicatatkan di negeri ini adalah membabitkan kluster tempat kerja terutamanya sektor perkilangan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr. Norlela Ariffin berkata, kes daripada kluster itu juga semakin meningkat selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dan selepas negeri ini memasuki fasa dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada awal Julai lalu.

Menurutnya, daripada keseluruhan 8,668 kes yang dilaporkan di antara 1 Jun hingga 14 Julai lalu, sebanyak 6,222 kes adalah daripada kluster tempat kerja terutama sektor perkilangan.

“Antara punca peningkatan adalah menjurus kepada penempatan pekerja warga asing yang mana melibatkan percampuran di antara lebih 10 buah kilang dalam satu kawasan penempatan atau asrama pekerja.

“Selain itu, ia disebabkan fasiliti kediaman atau rumah yang tidak sesuai di samping jumlah penghuni melebihi kapasiti dihadkan,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini hari ini.

Menurut Norlela (PKR-Penanti), sepanjang tahun ini setakat 28 Ogos lalu, sebanyak 246 kilang di seluruh negeri yang berlaku jangkitan kes Covid-19 diarahkan ditutup.

“Sebanyak 135 buah kilang terletak di daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Barat Daya (47), Seberang Perai Selatan (SPS) (29), Seberang Perai Utara (27) dan Timur Laut (8).

“Jumlah itu jauh lebih tinggi berbanding hanya 17 kilang yang diarahkan tutup sepanjang tahun lalu iaitu 15 buah di Barat Daya serta masing-masing satu di SPT dan SPS,” katanya lagi.

Sementara itu, Norlela berkata, kes positif Covid-19 di negeri ini dilaporkan meningkat mendadak selepas aktiviti ekonomi dan sosial dibenarkan di bawah Fasa 2 PPN khususnya melibatkan kawasan seperti di pasar awam, tapak pembinaan dan premis-premis perniagaan.

“Penularan jangkitan di dalam komuniti juga menyebabkan jangkitan sukar dikawal selain terdapat isu dalam pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang lemah yang menyebabkan risiko jangkitan menjadi lebih tinggi,” katanya. – K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI