fbpx

Murray bengang tindakan Tsitsipas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MURRAY kecewa perlawanan kerap terhenti untuk Tsitsipas menerima rawatan pada pusingan pertama Terbuka AS semalam. – AFP

NEW YORK – Bekas pemain No.1 dunia, Andy Murray hilang rasa hormat terhadap Stefanos Tsitsipas yang didakwa se­ngaja melengahkan perlawanan untuk meraih kemena­ngan pada pusingan pertama Terbuka Amerika Syarikat (AS) semalam.

Walaupun bermain baik tetapi Murray terpaksa bertarung sengit dalam lima set perlawanan sebelum tewas dengan keputusan 6-2, 6-7, 6-3, 3-6 dan 4-6 yang berlangsung hampir lima jam.

Murray tidak dapat menerima kekalahan itu dan mendakwa Tsitsipas sengaja melewatkan perlawanan untuk menerima rawatan kaki selain kerap menggantikan raket sekali gus mengganggu rentak perlawanan.

“Dia (Tsitsipas) bermain baik dalam perlawanan ini tetapi saya tidak suka dengan beberapa tindakannya. Ia menyebabkan saya hilang rasa hormat kepada dirinya.

“Apabila anda menghentikan perlawanan sehingga tujuh atau lapan minit, ia mengganggu rentak permainan. Anda tidak boleh melakukan perkara itu terutama ketika saya mendahului perlawanan.

“Tindakan itu mempe­ngaruhi mental dan fizikal kerana anda terpaksa berehat berkali-kali dalam setiap set perlawanan. Apabila saya cuba mengawal perlawanan semula dan meraih kemenangan set ketiga, dia sekali lagi menghentikan permainan untuk me­rawat kaki kirinya.

“Saya tidak fikir dia berdepan masalah kerana pergerakannya sangat baik atas gelanggang. Saya sangat kecewa kerana tindakan itu mempe­ngaruhi keputusan perlawanan,” jelas Murray.

Sebagai rekod, Tsitsipas mara ke pusingan kedua hari ini menentang pemain Perancis, Adrian Mannarino selepas menewaskan rakan senegaranya, Pierre-Hugues Herbert dengan keputusan 3-6, 4-6, 6-4, 6-3 dan 6-3. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN