MADRID – Real Madrid akhirnya mengibarkan ‘bendera putih’ untuk mendapatkan khidmat penyerang sensasi Paris Saint-Germain (PSG), Kylian Mbappe selepas gagal mencapai kata sepakat dengan pengurusan kelab Perancis itu.
Ia selepas PSG terus berkeras dengan tanda harga £175 juta (RM1 bilion) diletakkan ke atas Mbappe bagi mana-mana pasukan berminat mendapatkan khidmat pemain berusia 23 tahun itu yang akan tamat kontrak musim depan.
Real yang dibimbing oleh Carlo Ancelotti hanya mampu menawarkan wang tunai maksimum berjumlah £146 juta (RM836 juta) tidak termasuk dana tambahan sebanyak £9 juta (RM51.5 juta) bergantung kepada prestasi Mbappe.
Namun, PSG tetap menolak tawaran daripada skuad Los Blancos itu meskipun Mbappe telah menyatakan hasratnya mahu berhijrah ke Madrid susulan kehadiran bekas bintang Barcelona, Lionel Messi di Parc des Princes awal bulan lalu.
Difahamkan, Real akan berusaha mendapatkan tandatangan Mbappe secara percuma apabila kontraknya berakhir hujung musim ini dan dilaporkan bersedia untuk menawarkan prakontrak buatnya pada Januari depan.
PSG yang dikendalikan oleh Mauricio Pochettino dikatakan telah memberikan tawaran lanjutan kontrak baharu sebanyak enam kali kepada Mbappe untuk memastikan pemain antarabangsa Perancis itu kekal lebih lama di Paris.
Bagaimanapun, bekas pemain AS Monaco itu menolak setiap tawaran tersebut kerana mahu menunaikan impiannya menyarung jersi Real mengikut jejak dua idolanya dalam pentas bola sepak dunia iaitu Zinedine Zidane dan Cristiano Ronaldo.
Sementara itu, Real dilaporkan berjaya mendapatkan khidmat bintang meningkat naik Perancis, Eduardo Camavinga daripada Rennes dengan kontrak selama lima tahun bernilai £26 (RM149.13 juta). – AGENSI