PETALING JAYA – Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) kini giat mempromosikan kulinari etnik negeri tersebut yang kaya dengan pelbagai hidangan tradisional khususnya bagi kaum Orang Ulu dan Dayak di Bumi Kenyalang.
Bersesuaian dengan popularitinya sebagai destinasi yang memiliki kepelbagaian khazanah flora dan fauna itu, STB meningkatkan kempen dan promosi mengetengahkan beberapa restoran yang bakal memenuhi cita rasa dan selera pengunjung.
Antara premis popular pilihan pengunjung adalah Restoran Lepau yang diusahakan oleh pengasasnya, Marichelle Livan Lah sejak tahun 2014.
Premis yang pernah memenangi Anugerah Restoran Etnik Inovatif Terbaik pada Anugerah Perlancongan Malaysia ke-20 pada tahun 2018 itu menghidangkan Nasi Adan Merah yang mana ia adalah hidangan popular yang dihidangkan pada Hari Gawai.
“Menu popularnya yang lain juga adalah ayam pansuh dan pelbagai hidangan sayur tepus (Red Gingerwort), terung asam Dayak (Solanum lasiocarpum Dunal) dan sayur midin,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan baru-baru ini.
Majoriti pengunjung di restoran itu terdiri daripada pelancong luar yang ingin merasai keistimewaan dan keenakan makanan etnik Sarawak.
Selain itu, bagi penggemar makanan laut, Medan Selera Top Spot menjadi lokasi wajib bagi pelancong ke negeri berkenaan yang mana ia menawarkan pelbagai jenis makanan laut dengan pilihan diberikan kepada pelanggan untuk memilih makanan laut atau sayuran yang terus dimasak peniaga.
Menurut seorang pengusaha yang berniaga di situ sejak 30 tahun lalu, Jong Sze Fui memaklumkan, hidangan makanan laut seperti ikan, udang dan ketam suri sentiasa segar kerana ia dibekalkan oleh nelayan di Asajaya, Buntal, Bako, Rambungan dan Pasir Pandak.
“Pelbagai kaum datang menjamu selera di sini dan makanan yang dihidangkan di di sini telah mendapat pensijilan halal yang dikeluarkan oleh Jakim,” ujarnya.
Tambah Sze Fui, antara makanan paling popular di restorannya adalah ketam mentega bersalut telur masin dan juga keropok tiram.
Selain itu, bagi penggemar makanan orang Utara dan Selatan di Semenanjung, pengunjung boleh menjamu selera di Serapi Garden Café (SGC) yang terletak di Jalan Satok, Kuching.
Menurut Pengurus SGC, Narita Boyeng, di premis berkenaan, pengunjung dapat melihat sendiri teknik salai asli di SGC kerana proses salai dilakukan dengan menggunakan rumah salai yang diperbuatkan khas.
“Kami menggunakan resepi asli dari Semenanjung dan teknik untuk menyalai daging, ayam atau itik mengikut teknik salai asli yang terdapat di Negeri Sembilan,” katanya.
Sementara itu mengulas mengenai kesan pandemik kepada perniagaan makanan dan minuman di Kuching, Sze Fui memberitahu, Kerajaan Negeri Sarawak begitu memahami keadaan peniaga kecil di Medan Selera Top Spot dengan memberi pengecualian bayaran sewa bermula April 2020 sehingga Disember 2021.
“Peniaga juga mempelbagaikan perkhidmatan sedia adanya dengan membuat penghantaran makanan selain menceburi peluang perniagaan baharu seperti menjual makanan sejuk beku bagi meningkatkan hasil jualan bulanan,” ujarnya.