CYBERJAYA – Biarpun pernah ditimpa pelbagai dugaan sehingga terpaksa mendiami ruang basement sebuah pangsapuri di sini selama lebih sebulan, Rahashidan Harun, 50 dan isteri, Azlin Abdullah, 50, bangkit kembali dengan mengusahakan gerai nasi lemak di Cyber 6, di sini.
Sebelum ini, kisah Rahashidan sekeluarga termasuk enam orang anak yang terpaksa berpindah ke basement pangsapuri selepas dikatakan dihalau bekas majikan, tular di media sosial sehingga mendapat perhatian Lembaga Zakat Selangor dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Rahashidan berkata, sejak kejadian itu, dia dan isteri tidak menoleh ke belakang kerana hilang tempat berteduh selain tiada pekerjaan.
“Berbekalkan pengalaman sebagai cef dan sedikit modal yang dikumpul, saya dan isteri memulakan perniagaan gerai nasi lemak berhampiran Shaftsbury Residences dan bangunan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di Jalan Impak, Cyber 6.
“Alhamdulillah, kami mampu meraih keuntungan kira-kira RM200 sehari bergantung kepada jumlah pelanggan dan tempahan yang diterima,” katanya yang kini menetap di pangsapuri MasReca, Cyber 10 di sini.
Tinjauan Kosmo! di gerainya mendapati orang ramai mula beratur seawal pukul 7.30 pagi untuk membeli nasi lemak jualan pasangan itu.
Menceritakan detik malang yang menimpanya, Rahashidan berkata, dia dan keluarganya diarahkan keluar dari rumah sewa bekas majikan itu selepas berlaku salah faham.
“Majikan menuduh saya membuka gerai jualan nasi lemak tanpa kebenaran.
“Gerai yang dibuka di hadapan restoran bekas majikan itu sebenarnya beroperasi di luar waktu operasi restoran demi mendapatkan pendapatan sampingan berikutan gaji dipotong ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.
Ujarnya, akibat salah faham, bekas majikan menganggap saya memperolehi keuntungan banyak berbanding restorannya.
“Dia terus bertindak menghalau kami sekeluarga serta-merta walaupun sebahagian bayaran sewa rumah itu dibayar sendiri.
“Memang sedih sebab anak-anak terpaksa menanggung nasib sama, namun mujurlah ada pihak sudi membantu antaranya Lembaga Zakat Selangor, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), NGO dan komuniti Cyberjaya,” katanya.-K! ONLINE