BERA – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini mencemar duli meninjau dan menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa lemas di Sungai Pahang dekat Kampung Bohor Baru di sini.
Al-Sultan Abdullah yang diiringi Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain menaiki bot bersama pasukan SAR.
Terdahulu, Seri Paduka Baginda tiba di pusat operasi di Kampung Bohor Baru pada pukul 4 petang dan mendengar taklimat mengenai operasi SAR.
Usaha mencari anggota tentera yang hilang selepas terjatuh di Sungai Pahang ketika melakukan latihan kelmarin masih menemui jalan buntu apabila mangsa belum ditemui sehingga kini.
Operasi yang digerakkan bermula pukul 9 pagi hari ini melibatkan pencarian secara permukaan sejauh dua kilometer dari lokasi kejadian selain aktiviti selaman dan penggunaan anjing pengesan.
Berita berkaitan: Anggota tentera terjatuh Sungai Pahang
Anggota tentera, Lans Koperal Mohamad Azrin Mat Isa, 27, yang merupakan peserta latihan taktikal Eksesais Para Predator hilang selepas terjatuh ke Sungai Pahang ketika cuba menyeberangi sungai berkenaan.
Dalam kejadian pada pukul 4.40 petang itu, mangsa yang merupakan anggota 10 Briged Para sedang melaksanakan fasa latihan taktikal menyeberang sungai. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929