IPOH – Remaja lelaki berusia 17 tahun antara empat penunggang motosikal yang ditahan dalam Op Khas Ambang Merdeka dan Samseng Jalanan di beberapa lokasi di negeri ini malam tadi.
Operasi bermula pukul 11 malam hingga 7 pagi itu di sekitar Jalan Sultan Azlan Shah, Jalan Sultan Idris Shah, Jalan Ipoh-Kuala Lumpur/ Simpang Pulai dan Kilometer 20, Jalan Ipoh-Kuala Lumpur.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Perak, Superintendan Azizan Hassan berkata, empat lelaki berusia 17 hingga 20 tahun itu ditahan kerana menunggang secara berbahaya.
Katanya, siasatan ke atas mereka akan dijalankan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya.
“Tangkapan dijalankan hasil risikan dan maklumat awam kerana kumpulan motosikal itu dikatakan sering berlumba dan membuat bising di kawasan sekitar Jalan Simpang Pulai-Gopeng.
“Tindakan mereka itu bukan sahaja bahaya kepada diri sendiri malah mengganggu ketenteraman penduduk setempat,” katanya di sini hari ini. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929