PETALING JAYA – Tidak berselindung sedang menahan rindu terhadap keluarga, Caprice yang sudah lebih dua bulan melaksanakan misi kemanusiaan di Mesir dan Jordan mengakui ingin segera pulang ke tanah air.
Katanya pemilik nama sebenar Ariz Ramli, 33, itu, walaupun mahu berada lebih lama di Mesir berjanji akan kembali lagi menyambung misinya.
“Tentunya saya ingin balik ke Malaysia. Saya merindukan keluarga, perniagaan dan permainan saya,” katanya menjawab pertanyaan peminat menerusi Insta Story, malam tadi.
Caprice turut berkongsi keadaan kesihatannya setelah dimasukkan ke sebuah hospital di Jordan akibat demam dan serangan panik.
“Alhamdulillah, saya rasa lebih sihat. Cuma doktor suruh rehat.
“Di sebalik ujian masuk hospital itu, sebenarnya ada hikmah. Saya dapat tidur sembilan jam, sebelum itu memang susah nak tidur lama.
“Tetapi disebabkan ini adalah hari-hari terakhir saya di Jordan, saya perlu berikan yang terbaik.
“Insya-Allah sebelum saya naik kapal terbang dan sampai ke Dubai nanti, saya akan muat naik kesemua video saya,” katanya lagi.
Caprice turut memaklumkan perkembangan terkini misi Road to Al Aqsa 2030 yang menjadi matlamatnya sejak berangkat ke Jordan menjadi bualan hangat.
Katanya, misi yang tular itu membolehkan dirinya diberi peluang bertemu ramai kawan baharu di Jordan yang banyak membantunya dalam mencapai matlamat ke Al Aqsa seperti diimpikan.
“Sejak lagu Koyak dan sesi ‘live’ Instagram saya bersama pensohor askar Israel itu menjadi tular, saya memang bergerak seorang tapi saya dipertemukan dengan ramai sahabat baharu di sini.
“Jadi, banyak perjumpaan dan mesyuarat perlu dilakukan dan anda akan dapat melihat (perkembangannya) nanti,” ulas anak muda itu.
Terdahulu, penyanyi rap aktivis kemanusiaan itu tiba di Kaherah pada 24 Jun lalu bagi menyertai misi ke Gaza sebelum meneruskan penggembaraan solo ke Jordan disebabkan beberapa isu sampingan.
Pelbagai dugaan dan kontroversi dilaluinya sepanjang tempoh berkelana sehingga dia pernah mendedahkan takut untuk kembali ke tanah air kerana bimbangkan keselamatan diri.
Begitupun, kekusutan yang berlaku kembali tenang, Caprice juga dihubungi polis dan memberikan keterangan membabitkan laporan pendakwah terkenal, Ebit Lew. – K! ONLINE