KUALA SELANGOR – Tindakan dua pemuda menunggang motosikal secara berbahaya termasuk menongkah arus di sekitar Jalan Kuala Selangor-Kuala Lumpur di sini memakan diri apabila ditahan polis awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi, suspek berusia 20 dan 22 tahun itu turut didapati tidak memakai topi keledar sekali gus membahayakan diri dan pengguna jalan raya lain.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, berdasarkan hasil pemantauan mendapati dua suspek masing-masing menunggang motosikal Kawasaki KR150 dan Yamaha 125z dalam keadaan mencurigakan.
“Mereka dilihat menunggang secara bersaing dan berpatah balik secara melawan aliran trafik di Jalan Kuala Selangor-Kuala Lumpur berkenaan.
“Anggota polis kemudian mengekori dan menghampiri suspek lalu menahan mereka bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Ramli, kedua-dua suspek bersama motosikal dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor dan kes disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929