fbpx

PTPTN sediakan 5 kategori ‘frontliners’ untuk berurusan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Dasuki menjelaskan lima kategori 'frontliners' yang terlibat ialah, 'Careliners', 'Live Chat Agent', Pegawai e-Aduan, Eksekutif Pemasaran dan Pegawai Media Sosial.

PETALING JAYA – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyediakan lima kategori petugas barisan hadapan yang boleh dihubungi peminjam untuk berurusan tanpa perlu hadir ke kaunter.

Ketua Eksekutif PTPTN, Encik Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata, lima kategori tersebut ialah, ‘Careliners’, ‘Live Chat Agent’, Pegawai e-Aduan, Eksekutif Pemasaran serta Pegawai Media Sosial.

“Bagi kategori ‘Careliners’, peminjam boleh menghubungi di talian 03-2193 3000, manakala ‘Live Chat Agent’, peminjam hanya perlu klik pada ikon ‘Live Chat’ di portal rasmi PTPTN serta peminjam juga boleh membuat aduan atau pertanyaan ke saluran e-Aduan melalui portal rasmi PTPTN.

“Peminjam juga boleh menghubungi seramai 444 Eksekutif Pemasaran PTPTN di seluruh negara melalui nombor telefon bimbit yang terdapat di portal rasmi kami, dan akhir sekali, orang ramai boleh berurusan melalui media sosial rasmi PTPTN iaitu Facebook PTPTN, InstaPTPTN serta TwitPTPTN,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya, dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara Fasa 2, kaunter PTPTN beroperasi dari Isnin hingga Jumaat bermula pukul 9 pagi hingga 1 tengah hari manakala hanya satu kaunter dibuka di setiap cawangan dengan seorang pegawai bertugas terhad kepada 16 pelanggan.

“Peminjam yang berhasrat untuk berurusan secara bersemuka perlu membuat janji temu secara dalam talian selewat-lewatnya sehari sebelum tarikh berurusan.

“PTPTN telah memantapkan kemudahan dengan memperkenalkan kemudahan e-JanjiTemu. Peminjam perlu melayari portal rasmi PTPTN dan klik pada ruangan e-Perkhidmatan serta melengkapkan maklumat yang dikehendaki seterusnya membuat pengesahan,” ujarnya.

Menurutnya, diharapkan peminjam boleh manfaatkan pelbagai kemudahan yang disediakan oleh pihak PTPTN.

“Kami di PTPTN sangat menghargai dan mengalu-alukan kerjasama dan sokongan anda untuk berurusan dengan kami. Menerusi #PTPTNSediaBantu, kami telah menyediakan barisan hadapan yang sentiasa cakna dan mesra untuk membantu peminjam dalam menyelesaikan urusan berkaitan bayaran balik pinjaman.

“Saya bersama pasukan barisan hadapan PTPTN mengajak para peminjam untuk segera mendapatkan khidmat disediakan melalui pelbagai kemudahan saluran yang ditetapkan bagi menyelesaikan urusan berkaitan bayaran balik pinjaman. Kami sedia membantu,” katanya. – K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI