fbpx

Yee Khie dedikasi pingat perak buat Hari Kebangsaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
YEE KHIE mendedikasikan pingat perak yang dimenanginya sebagai hadiah buat Malaysia yang menyambut Hari Kemerdekaan hari ini.

KEM angkat berat negara sekali lagi tampil cemerlang di temasya Sukan Paralimpik Tokyo 2020 apabila atlet powerlifting, Jong Yee Khie berjaya menyumbang pingat perak dalam acara lelaki 107 kilogram (kg) semalam.

Pada saingan itu, atlet kelahiran Sarawak itu turun dengan semangat luar biasa apabila berjaya mengangkat bebanan 237kg untuk meraih perak pada angkatan kedua, meskipun gagal melepasi angkatan pertama (230kg).

Yee Khie mengakui berpuas hati dengan penampilannya itu dan menyifatkan kejayaanya adalah hadiah buat Malaysia sempena menyambut Hari Kebangsaan ke-64 pada hari ini.

“Perasaan saya sangat gembira kerana berjaya meraih pi­ngat perak. Namun, ketika berada di gelanggang saya lihat bendera Malaysia berada di tepi dan fokus untuk meletakkan Malaysia untuk meraih emas.

“Bagaimanapun, pingat perak pun saya sudah berpuas hati ke­rana ini adalah penampilan kedua saya di pentas ini. Saya tahu pada angkatan pertama, saya lakukan kesilapan dan lega berjaya melepasi angkatan kedua.

“Apa pun, pingat perak ini hadiah buat Malaysia yang bakal menyambut kemerdekaan pada 31 Ogos (hari ini),” katanya pada sesi sidang akhbar secara maya.

Pingat emas dimenangi atlet Mongolia, Sodnompiljee Enkhbayar yang mengangkat bebanan 245kg sekali gus mencatat rekod baharu Paralimpik. Bagi pingat gangsa pula menjadi milik Razi Saman dari Iran dengan angkatan 231kg.

Dalam pada itu, atlet berusia 33 tahun itu mahu menjadikan pingat perak itu sebagai pe­mangkin semangat kepadanya untuk melakukan persiapan menjelang Paralimpik Paris 2024.

“Saya akan bekerja keras selepas ini terutama untuk mem­buru pingat pada temasya ­Olimpik 2024 nanti. Itu adalah impian saya,” katanya.

Kejayaan itu adalah pingat kedua buat Malaysia selepas atlet powerlifting, Bonnie Bunyau Gustin yang mencipta sejarah menyumbang emas pertama buat kontinjen negara di temasya berprestij itu, kelmarin.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI