WOLVERHAMPTON – Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer mengakui Mason Greenwood telah menyempurnakan hasrat mereka untuk meraih kemenangan kedua selepas sekadar terikat 1-1 menentang Southampton minggu lalu.
Pada aksi kelmarin, Greenwood muncul wira United apabila meledak gol tunggal perlawanan ketika mereka menewaskan Wolverhampton Wanderers 1-0 di Stadium Molineux.
Beraksi di laman sendiri, Wolves berjaya mendominasi permainan dan hampir memecah kebuntuan, namun kehandalan penjaga gol United, David De Gea berjaya menafikan hasrat mereka untuk meraih kemenangan pertama musim ini selepas dua kali tewas sebelum itu.
United tidak berjaya mencipta banyak peluang pada aksi berkenaan, namun Greenwood berjaya menyempurnakan peluang terbaik kira-kira 10 minit sebelum masa sebenar perlawanan berakhir untuk mengumpul tiga gol setakat ini.
“Dalam saingan Liga Perdana Inggeris, banyak perkara yang anda tidak boleh jangka. Kali ini kami berjaya meraih tiga mata tanpa bolos tetapi adakalanya perkara sebaliknya berlaku,” kata Solskjaer.
Pemain Wolves, Trincao mendapat peluang terbaik selepas berjaya melepasi kawalan De Gea tetapi percubaan berjaya diselamatkan oleh Aaron Wan Bissaka di atas garisan gol.
De Gea juga sekali lagi bertindak cemerlang menafikan dua percubaan Roman Saiss dari jarak dekat yang hampir menerjah jaring.
“Aaron menyelamatkan bola di atas garisan gol dan De Gea menyelamatkan dua percubaan berturut-turut.
“Namun, kami ada pemain baik di bahagian serangan dan Mason adalah pemain yang sangat unik, dia mampu melepaskan rembatan yang baik sama ada menerusi kaki kiri atau kanan.
“Kadang-kala anda berharap untuk mendapat tuah dalam perlawanan dan hari ini kami berjaya mendapatkannya,” katanya. – Agensi