LONDON – Tottenham Hotspur tidak mahu terlalu gembira biarpun mendahului saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas menang 1-0 ke atas Watford malam kelmarin.
Pada aksi yang berlangsung di Stadium Tottenham Hotspur itu, penyerang dari Korea Selatan, Son Heung-min terus menjadi wira pasukan apabila meledak gol tunggal perlawanan pada minit ke-42.
Bagaimanapun, pengurus Spurs, Nuno Espirito Santo menegaskan, kedudukan tersebut langsung tidak membawa sebarang makna memandangkan mereka masih berada di awal saingan.
“Mendahului saingan Liga Perdana ketika ini tidak membawa sebarang makna kepada pasukan. Saya harap semua pemain dan penyokong tidak terlalu gembira dengan kedudukan sekarang.
“Apa yang penting, kami perlu terus bekerja keras dan kekalkan rentak permainan seperti ini. Saingan musim ini masih panjang dan kami perlu baiki banyak kelemahan yang ada,” kata pengendali dari Portugal itu.
Beliau yang juga bekas pengurus Wolverhampton Wanderers berkata, pemain-pemainnya menunjukkan fokus yang cukup tinggi biarpun beberapa kali diasak oleh jentera serangan The Hornets.
“Saya gembira dengan keseimbangan yang ditunjukkan dari segi pertahanan dan serangan, cuma kami perlu lebih tajam apabila dihidangkan peluang menjaringkan gol,” ujar Espirito Santo. – AGENSI