LONDON – Pengarah Urusan Yamaha, Lin Jarvis mengesahkan bekas pelumba Ducati, Andrea Dovizioson (Dovi) bakal kembali ke saingan MotoGP bersama pasukan Petronas Yamaha Sepang Racing (SRT) di Misano, Itali.
Ini kerana, Franco Morbidelli yang kini sedang menjalani rawatan kecederaan akan bersama pasukan Monster Energy Yamaha untuk mengambil tempat Maverick Vinales.
Tegas Jarvis, Morbidelli akan membuat debut bersama pasukan pengeluar Yamaha di Misano bulan depan selepas dia pulih sepenuhnya daripada pembedahan lutut Jun lalu.
Meskipun belum ada sebarang perjanjian dilakukan, namun Jarvis tidak menolak sebarang kemungkinan bahawa Dovizioso akan bersama SRT pada musim depan.
“Ini adalah peluang buat Morbidelli untuk timba pengalaman bersama pasukan pengeluar. Morbidelli sebenarnya sudah lama berada dalam radar kami dan sekarang adalah tahun ketiganya walaupun musim ini adalah sukar baginya.
“Kami memberi peluang kepadanya untuk mengutip pengalaman lebih awal bersama kami agar dapat tampil melakukan lebih baik pada musim 2022 nanti.
“Kami juga bersetuju memanggil Dovizioso ke Misano nanti dan dia akan menunggang jentera Morbidelli bersama SRT,” katanya.
Ketika ini, SRT sedang mencari dua pelumba terbaik bagi mengisi kekosongan tersebut selepas Valentino Rossi membuat keputusan untuk bersara selain Morbidelli dipanggil menyertai pasukan Yamaha. – AGENSI