MELAKA – Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) kini menanggung lambakan udang harimau seberat 15,000 kilogram bernilai RM450,000 selepas permintaan makanan laut itu susut mendadak.
Pengarahnya, Rosli Mustapa berkata, kesemua udang bersaiz L itu merupakan hasil ternakan yang sepatutnya dipasarkan ke Singapura dan Johor, selain permintaan peniaga tempatan termasuk di medan ikan bakar.
Jelasnya, sehingga kini kesemua udang harimau itu ‘terkandas’ di kolam ternakan di Sebatu, Jasin berikutan kedai makan khususnya tidak lagi dapat beroperasi seperti biasa selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak tahun lalu.
“Permintaan udang harimau ini menurun sejak PKP tahun lalu dan kini hasil ternakan tidak dapat dieksport ke Singapura disebabkan negeri ini masih dalam Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN),” katanya di Kompleks Perikanan LKIM di Sungai Duyong, di sini, hari ini.
Ujarnya, keadaan itu menyebabkan harga udang harimau turun sekitar RM26 sekilogram berbanding sebelum ini antara RM30 hingga RM35 sekilogram.
“Kami sedang berusaha memasarkan udang harimau ini melalui ejen-ejen dilantik, namun kuantiti yang diambil tidaklah begitu banyak,” katanya. – K! ONLINE