fbpx

Johor terima 70,000 dos vaksin Khamis ini – TMJ

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tunku Ismail (tengah) menerima menghadap Hasni (tiga dari kiri) bagi membincangkan isu kekurangan vaksin di negeri Johor di Ibu Pejabat Johor Darul Takzim, Iskandar Puteri, Johor hari ini.

JOHOR BAHRU – Sejumlah 70,000 dos vaksin akan diterima Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Educity di sini Khamis ini bagi menampung bekalan vaksin untuk rakyat di negeri Johor.

Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bertitah memaklumkan perkembangan terbaharu itu susulan menerima menghadap Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad, Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Azmi Rohani serta Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Datuk Dr. Aman Rabu.

“Susulan perjumpaan ini, PPV Educity (dibawah Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam Swasta (Pikas) dan dikawal selia oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan mendapat 70,000 dos pada hari Khamis ini.

“Inisiatif Pemimpin Advokasi Covid-19 (IPA-C) juga telah dimulakan dengan kerjasama kerajaan negeri Johor, Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) dan pemimpin komuniti tempatan untuk melaksanakan aktiviti pendidikan kesihatan dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) serta membantu melaksanakan ujian saringan secara bersasar,” titah baginda.

Hadir sama menghadap Tunku Ismail ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pengurusan), Mohd. Noh Ibrahim , Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd. Noorazam Osman dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan negeri Johor,Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Tunku Ismai juga bertitah, kerajaan negeri telah menyediakan khemah yang lebih besar untuk Covid-19 Temporary Treatment Centre (CTTC) berhadapan Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini bagi menampung jumlah peningkatan pesakit Covid-19.

Baginda berkata, JKNJ juga telah memulakan sistem perkhidmatan CAC secara maya (VCAC) bagi membolehkan pesakit mendapatkan perkhidmatan kesihatan di rumah masing-masing.

“Adalah hasrat saya perjumpaan ini dapat membuka ruang untuk mencari penyelesaian terhadap isu-isu yang dihadapi oleh program vaksinasi di Johor supaya rakyat dapat diberi vaksin secepat mungkin,” titahnya.

Terdahulu, malam semalam, Tunku Ismail bertitah supaya Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad dan Pengarah Kesihatan Johor, Datuk Dr. Aman Rabu menghadap baginda hari ini.

Tunku Ismail bertitah demikian bagi membincangkan dakwaan berhubung satu laporan mengenai kekurangan vaksin dan pembatalan janji temu untuk vaksinasi.

Sebagai rekod, hanya 46.1 peratus penduduk Johor sudah menerima dos lengkap vaksin, manakala 76.3 peratus lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin, semalam.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI