PETALING JAYA – Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB) memperkenalkan ASN Equity Global, dana ASNB pertama yang memfokus kepada ekuiti global.
Dana yang akan mula ditawarkan pada 1 September 2021 itu sesuai untuk pelabur dengan toleransi risiko tinggi kerana ia menggunakan strategi pelaburan pertumbuhan modal dengan pendedahan tinggi di pasaran antarabangsa.
Bersesuaian dengan namanya, fokus pelaburan adalah pada ekuiti global dengan peruntukan aset hingga 99 peratus, yang mana dana ini menggunakan strategi pelaburan dalam syarikat berprospek tinggi serta yang mendapat manfaat menerusi megatrend global.
Pengerusi Kumpulan PNB, Tun Arifin Zakaria berkata, pelancaran ASN Equity Global merupakan satu lagi kejayaan bagi PNB dan ASNB, terutama dalam menunaikan amanat kepada semua rakyat Malaysia dengan menyediakan akses mudah ke pasaran global pada modal permulaan yang berpatutan.
“Rangkaian produk unit amanah kami yang komprehensif kini merangkumi pelbagai geografi dan kategori dana iaitu dana konservatif, seimbang dan pertumbuhan yang membolehkan pemegang unit memenuhi matlamat kewangan dan pelaburan mereka,” katanya dalam satu kenyataan.
ASN Equity Global diuruskan oleh pasukan pengurus dana profesional PNB yang berpusat di Kuala Lumpur dan pejabatnya di London bagi meneroka dan merebut peluang pelaburan di lebih daripada 50 pasaran saham global utama.
Pelaburan permulaan minimum hanya RM10 manakala pelaburan tambahan serendah RM1.00.
Bermula Rabu ini, pelabur boleh melanggan ASN Equity Global pada harga tawaran awal RM1.00 seunit sehingga 21 September 2021 di semua saluran, termasuk portal www.myasnb.com.my dan aplikasi mudah alih myASNB, cawangan dan ejen ASNB di seluruh negara, selain kemudahan perbankan internet ejen ASNB. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929