PORT DICKSON – Orang ramai mengambil kesempatan cuti hujung minggu membawa keluarga ke Port Dickson bagi menikmati hidangan makanan laut yang popular selepas Negeri Sembilan beralih dari Fasa 1 ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Tinjauan di Medan Ikan Bakar Majlis Perbandaran Port Dickson mendapati rata-rata pengunjung datang dalam kumpulan besar termasuk anak-anak kecil dan orang tua.
Seorang pekerja kedai ikan bakar, Siti Noraini Abu Bakar, 49, berkata, pelanggan tidak putus-putus datang bersama keluarga sejak medan ikan bakar itu dibuka pukul 5 petang kelmarin.
“Rasa bersyukur sangat apabila kerajaan membenarkan semula rentas daerah dan restoran dibenarkan menerima pelanggan makan di kedai.
“Hari ini merupakan hari pertama kedai dibuka selepas lebih tiga bulan ditutup dan sambutan sangat baik dan pelanggan tidak kisah menunggu lama asalkan dapat makan hidangan ikan bakar dan makanan laut segar di sini,” katanya ketika ditemui di Medan Selera Majlis Perbandaran Port Dickson, di sini kelmarin.
Menurutnya, bekalan makanan laut segar itu diperoleh dari Pasar Port Dickson dan dijual pada harga berpatutan termasuk ikan kerapu, siakap, cencaru, sotong dan udang.
Sementara itu, seorang pelanggan Muhammad Faisal Ab. Wahid, 38, dari Seremban berkata, dia mengambil kesempatan cuti hujung minggu untuk membawa anak-anak keluar mengambil angin dan makan ikan bakar kerana sudah lama tidak ke mana-mana.
“Sebelum ini hanya berkurung di rumah, jadi apa salahnya kita bawa anak-anak keluar makan angin,” katanya yang menunggu lebih sejam sebelum dapat menikmati hidangan dipesan.
Bagi seorang lagi pengunjung, Mohammed Nizar Mohammed Hafidz, 35, walaupun pandemik Covid-19 belum berakhir orang ramai boleh membawa keluarga ke pusat peranginan dengan mengamalkan norma baharu.
“Sudah lama keluarga tidak ke Port Dickson menikmati makanan laut, jadi apa salahnya kita membantu menaikkan semula ekonomi pengusaha kedai yang terjejas sebelum ini,” katanya. -K! ONLINE