BANDAR RAYA NEW YORK – Sebuah kedai barangan makanan di New York menawarkan makanan percuma kepada pelanggan yang berjaya menyelesaikan masalah matematik yang diberi oleh juruwangnya, lapor akhbar Daily Mail, kelmarin.
Ahmed Alwan yang menguruskan kedai Lucky Candy di Bronx berkata, dia mewujudkan ‘pertandingan’ matematik untuk pelanggannya sebagai salah satu cara membantu mereka yang tidak mampu membeli barangan.
“Pertandingan ini terbuka untuk semua pelanggan yang datang membeli-belah di sini.
“Bagi mereka yang berjaya menjawab soalan yang saya berikan, boleh memilih apa-apa makanan yang diinginkan di kedai saya,” jelas Ahmed.
Rakaman pelanggan menjawab soalan matematik itu dimuat naik di laman TikTok dan menarik tontonan sehingga 69.9 juta kali.
Tambah lelaki itu, setiap kali pelanggan mengambil barangan percuma, dia akan membayarnya menggunakan duit poket sendiri.
“Ini mengubah hubungan kita sebagai peniaga dengan masyarakat untuk jangka masa panjang.
“Pelanggan saya sanggup berbaris di luar kedai semata-mata untuk mendapatkan peluang menjawab soalan dan ia satu tindakan yang mengharukan,” katanya. – Agensi