fbpx

‘Hidup ini persinggahan, dahulu saya banyak dosa’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PERKONGSIAN Harris Alif bersama Ebit Lew menarik perhatian ramai,.

PETALING JAYA – Pelakon dan penyanyi, Harris Alif tidak menafikan bahawa keadaan dunia yang terumbang-ambing disebabkan virus Covid-19 membulatkan tekadnya untuk mendekatkan diri dengan agama.

Harris atau nama sebenarnya, Nor Harris Alif Nor Rashidi, 21, berkata, dia sedar yang selama ini banyak bergelumang dengan dosa namun tidak bermakna dia tidak layak untuk mendapatkan pengampunan daripada Allah SWT.

“Apabila ramai orang-orang yang kita kenal pergi menghadap Ilahi secara tiba-tiba terutama disebabkan Covid-19, semakin saya sedar hidup di dunia ini hanya sementara. Sekadar persinggahan yang singkat.

“Banyak perkara yang disebutkan dalam kitab suci, al-Quran kita sudah nampak berlaku di depan mata sekarang. Hari-hari kita diberitakan kematian kenalan seperti semuanya di hujung telinga sahaja,” katanya ketika dihubungi Kosmo! online sebentar tadi.

Ujar Harris yang merupakan suami kepada pelakon Intan Ladyana itu, perubahan yang dilihat daripada kaca mata orang ramai tidaklah berlaku secara mendadak kerana sebelum ini pun, dia sudah lama berubah ke arah lebih baik sebagai seorang Muslim namun tidak didedahkan kepada umum.

“Dah lama saya berubah ke arah yang lebih baik sebagai Muslim tapi tidaklah saya dedahkan dalam media sosial,” ujarnya.

Katanya lagi, perubahannya sekarang tidak membuatkan langkahnya sebagai seorang penyanyi dan pelakon terhenti begitu sahaja kerana dia percaya, keberadaannya dalam industri seni adalah ketentuan Ilahi.

“Allah dah tentukan saya jadi seorang artis. Mungkin dengan menggunakan platform yang diberikan oleh-Nya, dapat saya berdakwah melalui seni.

“Saya takkan tinggalkan bidang ini selagi Allah tak izinkan. Tapi pada masa sama, perlahan-lahan kita terus berubah ke arah kebaikan dan diredai-Nya.

“Lagi pun, ramai kawan-kawan yang masih mencari rezeki dalam bidang ini. Tak elok kalau saya cakap nak tinggalkan bidang ini sedangkan masih ramai lagi menjadikan bidang ini sebagai sumber pendapatan mereka,” ujar Harris.

Bekas juara program Idola Kecil musim 3 itu turut memberitahu bahawa, dia berasa seronok melihat perubahan ditunjukkan rakan-rakan seperjuangan dalam industri yang mendekatkan diri kepada agama.

“Tengok perubahan kawan-kawan seperti Nabil Ahmad membuatkan saya rasa seronok untuk terus mendalami ilmu agama. Kalau dahlu banyak buat dosa, tak bersyukur dengan nikmat Allah, sekarang saya mula lebih mengenal tanggungjawab sebagai seorang Muslim.

“Terima kasih kepada kawan saya Harris Annuar yang memperkenalkan saya kepada Ustaz Ebit Lew. Sebenarnya, jauh lagi perjalanan saya untuk jadi Muslim yang sempurna. Tapi, semakin dalam saya mendekatkan diri dengan agama, semakin saya merasakan kemanisan hidup,” katanya lagi.

Terdahulu, Harris Aliff mencuri tumpuan netizen apabila kian berkongsi untaian foto dengan Ebit Lew menerusi entri terbaharu dalam Instagram miliknya. Menerusi entri yang dimuat naik, dia berkopiah dan berkongsi petikan ungkapan berunsur Islamik. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI