KUALA LUMPUR – Perbicaraan kes saman penyanyi Siti Nordiana Alias atau lebih dikenali sebagai Nana terhadap lima individu termasuk Lan Solo dan Syura atas dakwaan memfitnahnya di platform media sosial Instagram, akan bermula 29 September ini di Mahkamah Sesyen di sini.
Perkara itu dimaklumkan peguam Abang Azlan Abang Ariffin yang mewakili Siti Nordiana ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut peguam itu, Hakim Zulqarnain Hassan menetapkan 29 dan 30 September ini untuk perbicaraan kes itu yang akan berlangsung menerusi aplikasi Zoom.
“Mahkamah mengarahkan pihak plaintif dan defendan memfailkan dokumen pra perbicaraan dan pernyataan saksi dua minggu sebelum perbicaraan bermula,” katanya ketika dihubungi pemberita selepas pengurusan.
Hari ini merupakan pengurusan kes saman itu secara dalam talian (e-Review) di hadapan Hakim Zulqarnain.
Pada prosiding itu, peguam Azlan Abdul Razak yang mewakili Lan Solo atau nama sebenarnya Mohd Razlan Mohamed Yusof, isterinya Nur Sheila Hassim dan Zuraidah Badron atau Syura, manakala peguam Nurul Hafidzah Hassan bertindak bagi pihak Pegawai Perhubungan Awam Syarikat Rakaman FMC Music Sam Musyadzafar Samin serta jurusolek artis bebas Razidah Ahmad Senusi.
Pada 3 Ogos lalu Kosmo! melaporkan pertelingkahan penyanyi Siti Nordiana bersama lima sekawan termasuk Lan Solo dan Syura Badron kini memasuki episod baharu apabila selebriti tersebut menfailkan saman berjumlah RM2.5 juta.
Siti Nordiana, 37, selaku plaintif memfailkan saman itu menerusi Tetuan Abang Azlan & Associates pada 30 Julai lalu di Mahkamah Sesyen Sivil di sini, dengan menamakan Lan Solo, Nur Sheila dan Syura, masing-masing sebagai defendan pertama hingga ketiga.
Dua lagi defendan iaitu keempat dan kelima ialah Sam Musyadzafar Samin, 43, dan jurusolek artis bebas Aida G.
Dalam saman tersebut, Siti Nordiana telah menuntut penerbitan permohonan maaf menerusi siaran akhbar, Instagram dan Facebook live serta RM500,000 daripada setiap defendan.
Writ saman yang dihantar secara e-mel itu, beberapa perkara telah dinyatakan iaitu permohonan maaf secara terbuka dalam media sosial dan terbitan akhbar serta tuntutan amaun ganti rugi RM500,000 daripada setiap defendan yang secara keseluruhannya berjumlah RM2.5 juta.
Selain itu, terdapat juga tiga lagi tuntutan iaitu ganti rugi teruk, ganti rugi teladan dan ganti rugi khas yang akan dinilai serta ditentukan oleh pihak mahkamah. – K! ONLINE