PETALING JAYA – Ketua jabatan di semua pejabat kerajaan perlu kenal pasti dan selesaikan masalah 2.2 peratus penjawat awam yang masih belum mendaftar untuk mendapatkan vaksinasi.
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Adnan Mat berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai jumlah 2.2 peratus penjawat awam yang masih tidak mendaftar bagi mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.
“Masih terlalu awal untuk membuat rumusan bahawa jumlah 2.2 peratus penjawat awam ini tidak mendaftar disebabkan mereka menolak untuk divaksin, mereka berkemungkinan mempunyai alahan, mengandung, ataupun keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan.
“Justeru itu, Cuepacs menggesa semua ketua jabatan mengenal pasti kakitangan masing-masing yang tidak mendaftar atau masih belum menerima suntikan vaksin bagi membolehkan maklum balas diterima mengenai punca mereka masih belum mendaftar,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya lagi, semasa proses kenal pasti dilakukan, ketua jabatan perlu mengadakan sesi pertemuan dengan kakitangan masing-masing bagi mengetahui masalah yang timbul.
Katanya, input daripada pertemuan tersebut perlu digunakan untuk menyelesaikan permasalahan yang dihadapi oleh kakitangan mereka.
“Dalam masa yang sama maklumat berkaitan kebaikan vaksin boleh diberikan jika masih ada yang tidak mendapat maklumat yang tepat.
“Pihak Cuepacs yakin proses ini boleh meningkatkan lagi peratusan penjawat awam divaksin apabila permasalahan yang dihadapi oleh kakitangan didengari dan diselesaikan oleh ketua jabatan masing-masing,” ujarnya.
Menurutnya, beliau berharap kerajaan dapat menyegerakan proses vaksinasi mereka yang sudah mendaftar termasuk 30,000 penjawat awam yang masih belum memperoleh tarikh janji temu walaupun sudah mendaftar untuk mendapatkan vaksin.
“Jumlah itu sebenarnya hanya sedikit sahaja. Sekiranya fokus diberikan kepada kumpulan terbabit, Cuepacs yakin kesemua penjawat awam itu boleh divaksin dalam tempoh sehari sahaja melalui koordinasi dengan jabatan dan kementerian masing-masing.
“Pelaksanaan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bergerak ke premis dan jabatan kerajaan boleh menyelesaikan proses memvaksin 30,000 penjawat awam yang belum lagi mendapat janji temu. Setiap jabatan mempunyai data kakitangan yang lengkap dan proses ini boleh berjalan dengan lancar sekiranya proses vaksinasi dilakukan di premis kerajaan selain dapat mengelakkan kesesakan,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, sebagai jentera pentadbiran kerajaan, Cuepacs menasihatkan penjawat awam tidak mengabaikan tanggungjawab mereka untuk menjayakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
“Penjawat awam perlu mengambil vaksin untuk memastikan persekitaran yang selamat di jabatan masing-masing. Keengganan segelintir untuk divaksin hanya akan mendedahkan risiko kepada rakan sekerja sehingga mewujudkan persekitaran yang tidak selamat di tempat kerja.
“Pengambilan vaksin juga penting kerana penjawat awam adalah barisan hadapan yang berhadapan dengan rakyat dalam menyampaikan perkhidmatan sama ada melalui kaunter atauu secara langsung di lapangan. Jadilah contoh terbaik kepada rakyat dengan menjadi individu pertama yang menjayakan setiap program dilakukan oleh kerajaan,” jelasnya.
Tegasnya, sekiranya sektor ekonomi ingin dibuka sepenuhnya, penjawat awam perlu divaksin terlebih dahulu kerana mereka adalah pemudahcara kepada sektor ekonomi. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929