Oleh NUR ALINA HASSAN
MUAR- Seorang kanak-kanak perempuan terpaksa mendapatkan bantuan pihak bomba selepas gelang besi yang dipakai di pergelangan tangan kirinya tersekat.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Muar, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Mohd. Jefri Jamal berkata, dalam kejadian pukul 6.47 petang semalam, mangsa berusia 4 tahun dibawa oleh datuknya ke balai bomba selepas usaha membuka perhiasan sembahyang itu gagal.
“Menurut datuk mangsa, cucunya telah memakai gelang tersebut sejak kecil, namun ia menjadi tersekat apabila tubuh badan kanak-kanak itu semakin membesar.
“Mereka telah cuba pelbagai usaha bagi membuka gelang besi berkenaan, tapi tidak berjaya. Oleh sebab itu, keluarga mangsa terpaksa datang ke balai bomba untuk mendapatkan bantuan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut Mohd. Jefri, seramai lima anggota dihantar ke tempat kejadian bagi memotong gelang tersebut dengan menggunakan peralatan khas.
“Pihak bomba mengambil masa kira-kira 10 minit bagi memotong peralatan itu. Mangsa dilaporkan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.-K! ONLINE