KUALA TERENGGANU – Sektor pelancongan Terengganu kecuali Pulau Perhentian akan kembali beroperasi untuk kunjungan domestik mulai lusa.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Terengganu, Ariffin Deraman berkata, kebenaran melancong itu bagaimanapun terhad kepada penduduk tempatan yang sudah melengkapkan dua dos vaksin Covid-19 masing-masing.
“Sektor pelancongan di seluruh negeri ini akan dibuka secara rasmi bermula 1 September ini (lusa) dan tempahan percutian sudah boleh dilakukan mulai sekarang.
“Kebenaran itu merangkumi penginapan di hotel, resort dan inap desa dengan kapasiti penuh di seluruh negeri ini termasuk rangkaian pulau kecuali Pulau Perhentian,” katanya di Pejabat Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu di sini malam tadi.
Terdahulu beliau ditemui selepas mengimamkan solat hajat sempena pembukaan semula sektor pelancongan Terengganu.
Ariffin menjelaskan, aktiviti rekreasi air seperti snorkeling, skuba dan kolam renang terbuka pula dibenarkan dengan kapasiti 60 peratus mengikut prosedur operasi standard (SOP) dibenarkan.
Begitupun, beliau berkata, beberapa lokasi ‘indoor’ seperti Taman Tamadun Islam, muzium, zoo dan taman tema masih belum dapat dibuka kepada pengunjung. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929