ESOK tanggal 31 Ogos, kita sekali lagi akan menyambut Hari Kebangsaan yang merupakan tarikh keramat ulang tahun kemerdekaan negara bagi kali ke-64.
Hari dan detik bersejarah itu menandakan berakhirnya penjajahan British di Tanah Melayu sekali gus kita tidak lagi terbelenggu dengan sistem dan cara pemerintahan Barat.
Bertitik tolak dari situ, kita bangunkan negara mengikut acuan dan cara tersendiri berdasarkan kepelbagaian agama, adat dan budaya serta etnik.
Selepas 64 tahun kita merdeka, kita telah melalui pelbagai liku-liku kehidupan dan cabaran, namun apa yang pasti dalam tempoh tersebut kita telah tinggal di sebuah negara yang begitu aman dan sejahtera.
Malah boleh dikatakan kita merupakan bangsa Malaysia yang amat bertuah jika dibandingkan dengan negara-negara membangun lain yang dilanda peperangan, konflik politik dan perkauman yang tidak berkesudahan, bencana gempa bumi, banjir dan kemarau yang maha dahsyat serta kemiskinan sehingga rakyat mati kebuluran.
Dalam keadaan hidup seperti ini, ramai lagi yang tidak bersyukur betapa kita selama ini dikurniakan dengan pelbagai nikmat yang amat didambakan oleh rakyat negara lain.
Tidak terbuka di mata dan hati mereka bahawa kita lahir, membesar dan hidup di sebuah negara bertuah ini. Jika tidak, tiadalah jutaan warga asing datang berbondong-bondong ke sini ibarat yang buta datang berpimpin yang capik datang bertongkat.
Begitulah keadaannya, mereka sanggup meninggalkan keluarga, bergadai harta benda dan berkorban nyawa demi meraih rezeki di bumi bernama Malaysia ini.
Hari ini, dek serangan virus Covid-19, bumi indah tempat kita berteduh ini berhadapan dengan zaman yang suram. Tidak pernah ada sejarah kita terpaksa melalui tempoh yang teramat sukar seperti ini. Hampir tidak ada orang yang tidak terkesan oleh bencana wabak yang menimpa.
Wabak ini jelas membelenggu segenap sudut kehidupan kita, daripada masalah untuk bekerja, belajar dan bersosial. Segala-galanya tersekat dan menjadi begitu terhad.
Ada ketika kita berasakan seolah-olah masa depan begitu kelam. Ada ketika kita nampak ada sinar yang mungkin membebaskan kita daripada bencana yang menyelubungi kehidupan sekarang ini.
Esok Hari Kebangsaan ke-64, suka atau tidak kita mesti akui kita belum merdeka dalam erti kata yang sebenar. Kita masih teraba-raba mencari rona-rona kehidupan yang pernah dinikmati sebelum Mac tahun lalu.
Marilah kita berdoa, semoga perjuangan mencapai kemerdekaan pada abad ke-21 ini mencapai noktahnya. -K! ONLINE