SEBERANG PERAI – Biarpun usianya sudah mencecah 97 tahun, namun ingatan bekas polis hutan, Abdul Rahaman Bakar mengenai pengalamannya menentang komunis ketika darurat masih segar sehingga kini.
Menurutnya, antara peristiwa yang diingati adalah kejadian membabitkan tiga rakannya yang gugur ditembak komunis termasuk seorang daripadanya terburai isi perut.
Bercerita lanjut, Abdul Rahaman berkata, kejadian berkenaan berlaku pada 1951 ketika dia dan pasukannya sedang bertugas mengawal sempadan di Kulim, Kedah.
“Waktu mula-mula saya bekerja, ada dua kompeni (pasukan polis hutan) dan tugas kami adalah untuk mencari komunis di kawasan sempadan dan tidak mudah sebenarnya mahu mendapatkan mereka ini.
“Ketika sedang mengawal sempadan, kami terserempak dengan komunis dan berlaku pertempuran dan tiga rakan saya menjadi korban peluru mereka hingga ada yang terburai isi perut.
“Ia membuatkan kami benci kepada komunis dan berusaha habis-habisan untuk menentang mereka,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kepala Batas di sini semalam.
Abdul Rahaman mula berkhidmat selama lapan tahun bermula 1949 pada usia 25 tahun.
Tambahnya, tugas dan tanggungjawab pasukan keselamatan pada zaman itu amat mencabar, terutama mereka yang baru bertugas sebagai anggota polis.
Bagaimanapun, beliau tetap bersemangat menyerahkan seluruh jiwa dalam usaha melindungi penduduk dan menentang komunis supaya tanah air dapat mencapai kemerdekaan.
Abdul Rahaman sebagai pejuang kemerdekaan turut menerima surat penghargaan daripada kerajaan serta Kementerian Dalam Negeri.
Dalam pada itu, bapa kepada empat cahaya mata tersebut mengingatkan golongan muda agar menghayati dan menghargai nikmat kemerdekaan yang dikecapi hasil usaha pejuang pada masa lalu.
“Ia adalah hasil titisan darah pejuang lampau yang berkorban demi negara, justeru sama-samalah kita mempertahankan kemanisan keamanan ini.
“Saya juga lihat cabaran dunia kepolisan kini dan dahulu jauh berbeza. Semoga semua polis sentiasa menjaga amanah yang diberikan sebaik-baiknya demi negara tercinta,” katanya. -K! ONLINE