BEAUFORT – Pemimpin tempatan Sabah menyifatkan pemergian Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Lajim Ukin suatu kehilangan besar buat arena politik negara.
Ketua Bahagian Bersatu Beaufort, Datuk Isnin Aliasnih berkata, Allahyarham merupakan guru terbaiknya sepanjang karier politik sejak tahun 1991.
“Pemergian beliau bukan sahaja meninggalkan kesan secara peribadi. Kami bersama sejak UMNO sehinggalah ke saat ini (Bersatu). Dulu beliau ketua bahagian, saya timbalan dan sehingga akhir ini saya ketua, dia timbalan.
“Allahyarham sentiasa menyantuni rakyat mahupun rakan-rakan seperjuangan membuatkan dirinya disenangi ramai hinggalah ke akhir perjuangan politik beliau,” katanya ketika ditemui selepas selesai upacara pengebumian hari ini.
Mengulas lanjut, Isnin menyatakan Allahyarham Lajim sentiasa mengambil berat dan menjaga kebajikan rakyat dalam kawasannya terutama di Dewan Undangan Negeri (DUN) Klias sepanjang lebih 20 tahun bergelar wakil rakyat.
Sementara itu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor menerusi kenyataanya menyifatkan Lajim sebagai seorang kawan yang baik dan pemimpin yang berdedikasi.
“Saya mengucapkan takziah kepada Datin Normila Siong dan keluarga Allahyarham Datuk Seri Lajim atas kehilangan suami dan orang yang tersayang.
“Datuk Seri Lajim adalah pemimpin yang berdedikasi dan juga kawan yang baik serta banyak menyumbang kepada negeri dan negara sepanjang karier politiknya,” katanya. -K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929