MUNICH – Penggempur sensasi Bayern Munich, Robert Lewandowski terus mempamerkan aksi cemerlangnya musim ini apabila berjaya meledak hatrik ketika membantu pasukan itu membenam Hertha Berlin 5-0 di Allianz Arena awal pagi semalam.
Hatrik berkenaan menyaksikan Lewandowski meledak 300 gol bersama Bayern dalam semua perlawanan melibatkan aksi kompetitif ataupun sebaliknya.
Selain itu, dia juga memecahkan rekod Gerd Muller apabila meledak sekurang-kurangnya satu gol sepanjang 16 perlawanan berbanding legenda tersebut satu gol dalam 15 perlawanan ketika era 1969 hingga 1970.
“Ia bergantung kepada banyak perkara. Saya sentiasa dahagakan jaringan. Saya rasa keadaan ketika ini lebih baik berbanding beberapa tahun lalu.
“Namun, saya mahu menjadi lebih baik dan meningkatkan prestasi ke tahap yang tinggi dalam usaha membantu pasukan mencapai lebih banyak kejayaan,” kata Lewandowski.
Kemenangan itu menyaksikan Bayern kini di kedudukan kedua dalam saingan Bundesliga di belakang Bayer Leverkusen apabila meraih tujuh mata yang sama tetapi hanya dibezakan dengan jumlah jaringan selepas tiga perlawanan.
Bayern membuka tirai jaringan menerusi Thomas Muller selepas lima minit aksi bermula sebelum Lewandowski meledak gol pertamanya pada aksi tersebut pada minit ke-34.
Bersambung babak kedua, pemain muda Bayern, Jamal Musiala meletakkan Bayern selesa dengan gol ketiga selepas lima minit beraksi dan Lewandowski menambah dua lagi gol pada minit ke-70 dan 85 untuk melengkapkan hatriknya. – AGENSI