NEW YORK – Bintang tenis Ukraine, Elina Svitolina mempamerkan aksi terbaiknya selepas berjaya menewaskan Alize Cornet dengan keputusan straight-set untuk meraih gelaran di Terbuka Chicago semalam.
Pemain ranking No.6 dunia tersebut membawa pulang gelaran pertama WTA musim ini selepas berjaya mengatasi Cornet yang juga pemain pilihan kesembilan dengan keputusan 7-5, 6-4.
Kemenangan itu membolehkan pemain berusia 26 tahun itu merangkul 16 gelaran sepanjang kariernya. Sudah pasti kejayaan itu adalah persiapan terbaik menuju ke Kejohanan Tenis Grand Slam Terbuka Amerika Syarikat (AS).
“Saya akui kemenangan ini adalah minggu terbaik buat saya. Meskipun berdepan tugas sukar seawal pusingan pertama tetapi akhirnya saya berjaya menggenggam trofi di sini.
“Pada perlawanan itu, bukan mudah bila anda berdepan Cornet kerana dia merupakan lawan yang sukar. Tetapi, saya berjaya melakukannya dan gembira dengan permainan saya di final.
“Tujuan saya datang ke sini untuk mendapatkan keyakinan dan tampil lebih baik terutama berdepan lawan yang hebat seperti Cornet. Sudah pasti saya tidak sabar untuk menghadapi saingan di Terbuka AS nanti.
Svitolina yang pernah melangkah ke pentas separuh akhir di Terbuka AS pada 2019 dilihat tidak berdepan masalah untuk ke pusingan kedua apabila akan berdepan pemain ranking No.175, Rebecca Marino pada Selasa ini.
Sementara itu, Cornet pula perlu melakukan persiapan rapi apabila dijangka berdepan perlawanan sengit selepas berdepan pemain pilihan ke-20, Ons Jabeur. – AGENSI