PORT DICKSON – Hanya 2.2 peratus daripada keseluruhan 1,048,566 orang penjawat awam di negara ini gagal dikesan dan tidak mempunyai rekod menerusi aplikasi MySejahtera telah menerima suntikan vaksinasi Covid-19 sehingga 19 Ogos lalu.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd. Khairul Adib Abd. Rahman berkata, melalui semakan silang data penjawat awam ini, mereka yang tidak mendaftar untuk menerima vaksin ini adalah kerana faktor kesihatan dan ada juga yang ragu kerana sedang mengandung.
“Dalam pada itu, kami juga meminta pihak Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi supaya mempercepatkan hampir 30,000 penjawat awam yang sudah berdaftar namun belum mendapat sebarang tarikh janji temu menerima vaksin.
“Mereka ini sudah mendaftar menerusi MySejahtera jadi apabila mereka ini sudah menerima vaksin, ia memudahkan lagi pembukaan lebih banyak sektor perkhidmatan awam kelak,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Mobilasasi Vaksin Komuniti di Dewan Orang Ramai Taman Siliau Jaya, Siliau, Port Dickson hari ini.
Tambah beliau, bagi peringkat kerajaan negeri pula, sebanyak 5.3 peratus daripada keseluruhan 118,000 penjawat awam yang tidak mempunyai sebarang rekod pendaftaran vaksin menerusi MySejahtera.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 2.7 peratus telah mendaftar dan sudah mempunyai tarikh janji temu manakala 3.2 peratus masih belum mempunyai janji temu penerimaan vaksin,” katanya.-K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929