JUARA dunia powerlifting negara, Bonnie Bunyau Gustin mencipta sensasi di bumi Jepun apabila meraih pingat emas Sukan Paralimpik Tokyo 2020 dengan rekod baharu temasya menerusi catatan 228 kilogram (kg).
Bonnie, 22, langsung tidak dicabar apabila berjaya mengangkat bebanan 217 kg, 225 kg dan 228 kg, sekali gus memecahkan rekod lama Paralimpik, 227 kg milik atlet Iraq, Mohsin Rasool pada edisi Rio 2016.
Bagaimanapun, Bonnie sedikit kecewa tidak dapat memecahkan rekod dunianya, 230kg yang dilakukan di Dubai dua bulan lalu apabila gagal sewaktu angkatan terakhir 231 kg pada acara final bawah 72 kg di Tokyo International Forum semalam.
“Saya rasa gementar dan takut kerana ini adalah Paralimpik pertama. Memang saya juga sangat kecewa sebab sedikit lagi untuk pecah rekod dunia.
“Semalam sebelum tidur, saya ada telefon keluarga minta nasihat dan mendoakan saya. Hari ini saya agak serabut, banyak berfikir takut ada buat kesilapan atau tak boleh angkat.
“Saya berjaya tenangkan diri untuk beri persembahan terbaik. Ini adalah kenangan yang cukup manis dan saya hadiahkan kejayaan ini untuk Hari Kebangsaan,” katanya dalam sidang akhbar secara maya semalam.
Sementara itu, jurulatih powerlifting negara, Jamil Adam menyifatkan mentaliti juara dalam diri Bonnie adalah faktor utama kejayaan itu yang merupakan pingat emas pertama buat sukan berkenaan di pentas Sukan Paralimpik.
“Bonnie seorang yang sentiasa bersemangat tinggi dan tak gentar berdepan cabaran. Dia akan sentiasa melakukan yang terbaik dan saya percaya pingat ini akan meningkatkan lagi motivasi atlet-atlet lain,” jelasnya.