fbpx

Kutip lebih 300 topeng muka terpakai kurang tiga jam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Vasugi (kiri) dan adiknya, Suriya sanggup meredah panas semata-mata untuk mengutip topeng muka terpakai yang dibuang sesuka hati di sekitar Sungai Bakap, baru-baru ini.

Oleh ISWAN SHAFIQ ISA

SEBERANG PERAI – Setiap kali berulang-alik dari rumahnya di Sungai Bakap, Nibong Tebal di sini ke tempat kerja di Parit Buntar, Perak terutamanya semasa tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) ini, K. Vasugi, 37, pasti tidak senang hati apabila terpaksa melihat banyak topeng muka terpakai dibuang sesuka hati di sepanjang jalan tersebut.

Justeru, atas rasa tanggungjawabnya sebagai seorang rakyat Malaysia yang prihatin, wanita yang bekerja sebagai kerani akaun di sebuah pasar raya itu mengajak adik lelakinya, K. Suriya, 19, untuk turut sama dalam misinya memungut bahan terpakai itu bersama baru-baru ini.

“Saya kerja setiap hari kecuali Ahad dan saya rasa itulah hari yang terbaik untuk saya memulakan misi ini,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Kisah Vasugi dan Suriya itu sebelum ini tular selepas ia dimuat naik ke dalam laman Facebook apabila mendapat reaksi positif daripada sebahagian besar warganet yang terinspirasi dengan kisah itu selain turut dikongsi sekurang-kurangnya sehingga 113 kali setakat ini.

Dalam hantarannya di laman sosial itu, Vasugi turut memberitahu bahawa misi tersebut bertujuan mengurangkan pembiakan kuman, bakteria atau virus terutamanya ketika pandemik Covid-19 ini masih belum menunjukkan tanda-tanda akan surut.

Justeru, wanita itu mengingatkan orang ramai supaya berfikir sebelum membuang topeng muka yang telah digunakan merata-rata tempat kerana ia mungkin berisiko kepada mana-mana warga emas atau kanak-kanak yang kurang daya tahan daripada menjadi mangsa Covid-19.

“Sekarang, seluruh dunia diseksa oleh Covid-19 ini, orang dewasa tidak dapat pergi kerja, kanak-kanak tidak dapat ke sekolah dan lain-lain. Jadi, masa seperti inilah kita kena jaga kebersihan dan kesihatan diri dan negara juga pada masa yang sama kerana itu tanggungjawab kita bersama,” katanya dalam hantaran yang sama.

Dalam pada itu, Vasugi berkata, sehingga kini, dia dan adiknya telah berjaya memungut lebih 300 topeng muka terpakai walaupun hanya mengambil masa kurang daripada tiga jam untuk melaksanakan misi berkenaan.

Jelasnya, penularan kisah mereka turut menguatkan semangatnya untuk meneruskan kerja-kerja terbabit meskipun tidak menerima sebarang bayaran daripada mana-mana pihak.

“Setakat ini, hanya saya dan adik sahaja yang terlibat (memungut topeng muka terpakai) dan saya gembira jika ada rakan-rakan atau sesiapa sahaja yang mahu membantu kami melakukan kerja-kerja ini,” ujar Vasugi. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI