KLANG – Dua penjenayah termasuk seorang daripadanya dikehendaki berkaitan penyalahgunaan dadah yang terlibat dalam menyamun seorang operator kilang wanita berjaya ditahan di bawah blok sebuah flat di Taman Pendamar Indah 2 di sini malam tadi.
Penangkapan kedua-dua suspek berusia 22 dan 24 tahun itu dilakukan pukul 10.10 malam.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, pihaknya terdahulu menerima laporan daripada seorang mangsa berusia 20 tahun yang telah disamun ketika berada rumahnya di sekitar daerah ini dalam kejadian pukul 3 petang pada Selasa lalu.
Katanya, salah seorang suspek tidak memakai baju telah mengacukan pisau dileher mangsa dan memintanya berdiam diri sebelum masuk bilik mangsa dan mengambil wang RM500 dari beg wanita.
“Suspek kemudiannya masuk bilik rakan mangsa dan melarikan sebuah telefon bimbit jenis Huawei Mate 10 sebelum mengarahkan wanita itu membuka pintu depan sebelum melarikan dirinya.
“Bertindak hasil maklumat kemudiannya berjaya menahan kedua-dua suspek semalam dengan mereka mengaku terlibat dalam kes tersebut,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Beliau menambah, semakan mendapati salah seorang suspek mempunyai sembilan rekod jenayah lampau termasuk berkaitan mencuri, judi dan dadah.
Ujarnya, seorang lagi suspek mempunyai dua rekod lampau termasuk masih dikehendaki kerana penyalahgunaan dadah dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929