BAGAN SERAI – Kejadian ban pecah yang berlaku di Alor Pongsu minggu lalu perlu dielakkan pada masa hadapan kerana memberi kesan buruk pada penduduk dan ekonomi setempat.
Dalam kejadian pada 20 Ogos lalu, ban Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di Sungai Beriah pecah menyebabkan banjir kilat seperti mana yang berlaku pada tahun 2003.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Pongsu, Datuk Sham Mat Sahat berkata, sehubungan itu perlu diwujudkan sebuah pasukan pemantauan bagi memantau lokasi ban RTB agar tiada kerosakan.
Menurut beliau, pasukan itu dianggotai Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kerian termasuk Penghulu Mukim serta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung.
“Ianya perlu supaya pemantauan dari semasa ke semasa ke atas ban-ban RTB ini dapat dibuat bagi mengelak sebarang musibah pada masa akan datang.
“Dalam kejadian pada tahun 2003 misalnya, kerajaan telah membelanjakan kira-kira RM400 juta membaik pulih dan membina baru ban RTB di seluruh Kerian,” ujarnya ketika ditemui semasa membuat lawatan kerja di Kampung Nibong Hangus di sini hari ini. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929