PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga mantan Ketua Setiausaha Negara, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid yang telah kembali ke Rahmatullah hari ini.
Istana Negara menerusi laman Facebook menyatakan, baginda berdua turut menzahirkan rasa sedih dan berharap agar seluruh keluarga Allahyarham sabar dan tabah menghadapi dugaan serta suasana pilu ini.
“Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama para solihin.
“Seri Paduka Baginda berdua amat menghargai dan menyanjung tinggi khidmat bakti, jasa serta pengorbanan Allahyarham kepada negara,” kata Istana Negara hari ini.
Pada masa sama, Seri Paduka Baginda berdua turut menyifatkan permergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar kepada negara kerana beliau merupakan tokoh pentadbir perkhidmatan awam negara yang amat disegani dan dihormati.
Allahyarham Ahmad Sarji dilahirkan pada 16 September 1938 di Tapah, Perak, Allahyarham berkhidmat sebagai Ketua Setiausaha Negara dari tahun 1990 hingga 1996, semasa era pentadbiran Perdana Menteri keempat, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Beliau juga merupakan pengasas dan pengerusi pertama Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) pada tahun 1992 dan dilantik semula sebagai pengerusi IKIM pada tahun 2019. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929