Oleh IRFAN BURHANUDDIN
SAINGAN minggu ketiga Liga Perdana Inggeris (EPL) bakal menyaksikan hampir semua pasukan Fantasy Premier League (FPL) akan memilih ramai pemain Manchester City yang akan menentang skuad bermasalah, Arsenal di Etihad malam ini.
Pertembungan dua gergasi EPL antara Liverpool dan Chelsea di Anfield awal pagi esok menghangatkan lagi saingan FPL kali ini dengan rata-ratanya sudah tentu akan cuba mendapatkan penyerang seperti Romelu Lukaku atau Mohamed Salah.
Bagaimanapun, Kosmo berkongsi beberapa tips yang mampu membawa kelainan dan perubahan kepada pasukan FPL anda untuk meningkatkan jumlah mata terkumpul agar terus bersaing sengit dalam saingan Liga Fantasi Kosmo!.
PENJAGA GOL
EMILIANO Martinez dijangka mampu memastikan gawang golnya tidak dibolosi apabila menanti kunjungan Brentford di Villa Park malam ini berdasarkan keampuhan barisan pertahanan mantap dimiliki Aston Villa.
PERTAHANAN
TRENT Alexander-Arnold terus menjadi pilihan buat minggu ketiga berturut-turut. Kebolehan mengambil sepakan percuma dan penjuru menjadi faktor utama pemilihan selain Ruben Dias dan Sergio Reguilon yang dijangka mampu memberi mata penuh.
TENGAH
JACK Grealish menjadi pilihan utama Pep Guardiola di posisi sayap kanan untuk menjaringkan gol ke atas Arsenal yang sudah bolos dalam dua aksi berturut-turut. Said Benrahma juga cemerlang dan kini turut menjadi rebutan semua pengurus FPL.
PENYERANG
MICHAIL Antonio muncul penjaring terbanyak ketika ini dan gandingannya bersama Said Benrahma dijangka mampu terus memberi mata yang banyak apabila menentang Crystal Palace malam ini.
KAPTEN
SON Heung-min boleh menjadi harapan sebagai kapten pasukan FPL untuk saingan minggu ketiga. Kehadiran semula Harry Kane tentunya membantu Heung-min dari segi lorongan-lorongan bola untuk dia menjaringkan gol bertemu Watford.