fbpx

Syura maafkan semua, biar takdir penentu segala

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SYURA BADRON

PELAWAAN HibGlam untuk menemu bual figura yang seorang ini mulanya agak berat untuk disahut. Pada hematnya, dia khuatir jika berterusan menjaja kontroversi melibatkan empat sahabat lain lagi berhubung isu saman penyanyi Siti Nordiana akan lebih memburukkan keadaan.

“Kalau bukan nak bercakap tentang apa yang berlaku, saya okey,” kata pemilik nama lengkap Zuraidah Badron, 35.

Umum mengetahui kemelut antara Syura ‘lima sekawan’ dengan Siti Nordiana yang bermula daripada pendedahan terbuka menerusi sesi Instalive pada 20 Julai lalu.

Syura berharap sengketa dengan rakan artis, Siti Nordiana yang pernah ‘hidup’ sebumbung bawah syarikat rakaman pada zaman belasan tahun dapat diselesaikan dengan cara baik.

 

Penulis tidak mahu terus memperincikan konflik berkenaan atas perhitungan logik, kerana semua itu seakan mencurahkan minyak tanah ke arah api membara.

Jika boleh, biarlah penulisan ini sedikit sebanyak mengemaskan jahitan yang terkoyak. Jika ada luka yang perlu dibalut dan punya ruang untuk sembuh, arusnya biarlah mengalir ke arah itu.

Syura dan Siti Nordiana atau Nana mempunyai sejarah panjang dalam industri seni tanah air. Lebih dua dasawarsa melebarkan perjalanan karier sebagai penyanyi, mereka pernah bernaung bawah bumbung syarikat rakaman yang sama iaitu FMC sedari usia belasan tahun. Lebih nostalgik, mereka pernah merakamkan album duet Firus pada 2001.

Orang industri yang pertama

Masih basah dalam memori, mereka juga pernah berlakon dalam sebuah telefilem berjudul Helah. Pada waktu tersebut, mereka masih anak dara, manakala Allahyarham Achik Spin memainkan peranan hero.

Masa berlalu, hubungan berselirat sehingga membentuk sengketa, sudah tentu ada yang tercuit, terkenangkan pahit manis era tersebut, terutama dalam kalangan peminat dalam lingkaran era dimaksudkan.

Dituduh iri hati dengan kejayaan dikecapi Nana, Syura tidak menafikan perkara tersebut. Namun kejayaan rakannya itu sedikit sebanyak telah memberi motivasi kepada dirinya untuk mendepani hari mendatang dengan azam tanpa menjatuhkan mana-mana pihak.

“Tiada siapa mahu semua ini berlaku. Jujur saya cakap, ketika mula bertatih dalam bidang seni, dialah (Nana) orang pertama yang saya kenal. Kami satu label yang sama, nyanyi, bikin video muzik dan pergi ‘road tour’ bersama-sama sejak berusia 14 tahun.

“Apabila semua ini berlaku, sudah tentu saya sendiri fikir mana pergi semua persahabatan. Saya percaya, manusia tak sempurna dan itu juga sifat saya.

“Kita semua buat silap kerana itu memang fitrah,” kata juara MasterChef Selebriti Malaysia musim kedua itu.

Tuturnya lagi, perselisihan faham adalah satu perkara lazim, namun tidak menyangka akan berlarutan sampai ke mahkamah.

Dia sedar, dunia semakin memburuk dengan pelbagai permasalahan. Dirinya sendiri tidak mahu perhubungan manusia berbenih kebencian yang tidak menguntungkan.

“Salah faham bukan hanya berlaku dalam hubungan suami isteri, adik-beradik pun kadang-kadang bertikam lidah. Kami yang bergelar anak seni pun ada pasang surutnya dalam soal emosi yang akhirnya merugikan diri sendiri.

Syura menyerahkan soal jodoh, kejernihan hubungan dengan Siti Nordiana dan hal-hal yang bukan tergantung atas pilihan atau kudratnya kepada takdir. Dia percaya itulah yang terbaik dalam kehidupan.

Reda, tunggu kata mahkamah

“Saya percaya itu juga yang berlaku antara saya dengan Nana. Kami pernah sama-sama menjalani zaman anak dara sampailah sekarang. Bohonglah kalau saya cakap tak sedih dengan apa yang berlaku.

“Kalau boleh saya tak nak keruhkan keadaan. Daripada pihak saya, dari bibir saya sendiri, saya mohon maaf dan memaafkan apa sahaja yang berlaku baik apa yang orang tahu mahupun tidak.

“Saya tak nak orang cakap saya sengaja dramatik tetapi ketika dunia kacau-bilau dengan Covid-19, setiap hari ada sahaja manusia hilang insan tersayang disebabkan virus maut itu, mengapa perlu bersengketa sesama kita,” luah pelantun lagu Candak itu.

Tidak mahu dilihat terlalu bersikap defensif, ibu kepada tiga cahaya mata itu memaklumkan, apa sahaja yang berlaku selepas ini, diserahkan kepada takdir dan tertakluk kepada tindakan lanjut Nana.

Rindu untuk merakamkan single irama Malaysia, Syura memasang impian untuk berduet dengan Wany Hasrita kerana menyifatkan penyanyi itu sangat berbakat besar.

“Saya sudah sampai tahap fikir, apa sahaja yang keluar dari bibir saya, orang ramai akan label saya yang memulakan angkara ini, sayalah ‘villain’ dan sebagainya. Kalau dia (Nana) rasa bawa perkara ini ke mahkamah dapat selesaikan masalah, terpulang kepadanya.

“Saya reda dan ikut sahaja kalau itu memberikan keadilan kepada siapa yang berasakan dirinya teraniaya atau bagaimana.

“Setiap kali dalam usai solat, saya sentiasa berdoa agar segala permasalahan yang dihadapi ditunjukkan jalan keluar oleh Allah SWT.

“Saya tak mahu keruhkan keadaan dengan mendedahkan perkara yang tidak sepatutnya kepada media.

“Lebih baik simpan, telan dan hadam sendiri. Biarkan waktu memberi jawapan terbaik. Insya-Allah, semuanya akan dilunaskan dengan cara terbaik,” katanya.

Pandemik, PdPR

Tutup topik tersebut, Syura turut berkongsi bahana pandemik terhadap periuk nasinya sebagai anak seni yang semestinya tercalar. Jauh di sudut hati dia tetap percaya, dalam setiap kesukaran hidup, pasti akan didatangkan kesenangan.

Lapan tahun menyendiri tanpa lelaki bernama suami, Syura akui, hatinya tidak pernah tertutup untuk sekali lagi berumah tangga, namun perlu berhati-hati dalam perihal tersebut atas beberapa alasan.

“Saya percaya satu dunia terkesan dengan apa yang berlaku. Tak sangka dah lebih dua tahun kita berdepan dengan Covid-19.

“Kalau tanya dari segi kerjaya seni, memang tidak boleh buat apa apabila 60 peratus pendapatan saya dalam bidang seni terjejas.

Lapan tahun hidup sendiri selepas bercerai dengan bekas suami, Mohd. Fadhly Md. Yassin, Syura berkata, hubungan mereka tetap baik demi anak-anak, Nurul Dania, 14, Nurul Qaisara Sofea, 12, dan Mohd Irfan Aryan, 8.

“Nasib baiklah saya tidak hanya berpeluk tubuh dan ada perniagaan sendiri, Charmant. Kalau sekadar bergantung kepada nyanyian, memang buntu hidup.

“Nak besarkan anak tiga orang lagi bukan suatu perkara yang mudah.

“Alhamdulillah, saya yakin semua ini akan berlalu pergi tetapi kita semua perlu bersabar dan jalankan tanggungjawab masing-masing dengan telus.

“Kasihan budak-budak yang tidak dapat ke sekolah kerana banyak perihal yang mereka sudah terlepas.

“Pembelajaran di Rumah (PdPR) tak sama dengan belajar di sekolah.

“Sebagai ibu, saya perlu betul-betul pantau pembelajaran mereka. Saya tidak mahu mereka berasa terpinggir dengan apa yang berlaku,” katanya menoktahkan perbualan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI