TAN Sri Mohamad Norza Zakaria terus diberi kepercayaan untuk terus memimpin Majlis Olimpik Malaysia (MOM) selepas dipilih untuk kekal sebagai presiden bagi penggal 2021-2025.
Norza yang memegang jawatan itu sejak tahun 2018 dipilih sebulat suara dan menang tanpa bertanding untuk mempertahankan jawatan presiden badan induk tersebut.
Sementara itu, tiga lagi calon turut menang tanpa bertanding iaitu Datuk Hamidin Mohd. Amin yang memenangi jawatan sebagai naib presiden MOM manakala Datuk Ahmad Feisal Ahmad Tajuddin sebagai bendahari dan Moira Tan Siew See memegang jawatan Penolong Setiausaha Agung MOM.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada persatuan-persatuan sukan yang memberi sokong padu untuk saya menjadi Presiden MOM sekali lagi.
“Saya mengambil mandat dan kepercayaan ini sebagai satu amanah kerana hari ini kita menghadapi cabaran begitu hebat terutama ketika kita menghadapi pandemik Covid-19 hingga menyebabkan sukan kita dalam keadaan terumbang-ambing.
“Saya yakin kepercayaan yang diberi oleh persatuan-persatuan sukan ini menunjukkan mereka mahu melihat proses kesinambungan untuk keluar dari kemelut pandemik ini.
“Seperti sedia maklum tahun depan kita berdepan jadual yang sibuk dalam sukan diperingkat antarabangsa mahupun di dalam negara.
“Sebab itu kita mahu proses kepimpinan ini diselesaikan secepat mungkin untuk kita melakukan persiapan menghadapi temasya besar ini dan juga persiapan ke Sukan Olimpik Paris 2024,” katanya dalam sidang media di Wisma MOM, semalam.
Sementara itu, perebutan kerusi setiausaha agung badan induk itu akan membabitkan pertandingan empat penjuru untuk merebut jawatan Setiausaha Agung MOM yang ketika ini disandang Datuk Mohd. Nazifuddin Najib.
Nazifuddin akan dicabar tiga lagi calon iaitu Timbalan Presiden MOM ketika ini, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi, Megat Fairuz Khairuddin dan Presiden Persekutuan Snuker dan Billiard Malaysia (MSBF), Melvin Chia.
Baki beberapa jawatan lagi akan diputuskan pada 4 September dalam Mesyuarat Agung Tahunan MOM akan berlangsung. – K! ONLINE