MOSCOW – Objek misteri berbentuk obor-obor di langit wilayah Amur, Rusia mengejutkan penduduk tempatan yang berkesempatan merakam kejadian itu, lapor akhbar The Sun, kelmarin.
Objek bercahaya itu terbang melintasi wilayah Amur pada bulan lalu dan rakamannya menjadi tular di media sosial.
Menerusi rakaman yang dimuat naik di laman YouTube Viral Hog, obor-obor yang menyerupai komet itu dilihat meluncur ke arah Bumi.
“Saya dan rakan-rakan menyaksikan gerakan objek di langit, kelihatan seperti komet tetapi bergerak perlahan dan akhirnya tampak seperti roket atau mesin terbang.
“Tidak lama selepas itu, ia meletup dan bertukar menjadi serpihan seperti obor-obor,” tulis penerangan video tersebut.
Seorang pengguna media sosial menjelaskan objek tersebut adalah meteor yang biasa melintasi atmosfera Bumi.
“Ini adalah meteorit dan ia satu fenomena biasa. Meteor akan terbakar apabila memasuki garisan atmosfera dan menghasilkan cahaya pada ekornya,” jelasnya. – Agensi