PUTRAJAYA – Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa komited merangka hala tuju kementeriannya supaya lebih proaktif dan menyumbang kepada kemakmuran negara sekali gus memberi manfaat kepada Keluarga Malaysia.
Annuar berkata, beliau menyedari Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKKM) mempunyai peranan yang sangat penting terutama ketika negara sedang berhadapan pelbagai cabaran ketika ini.
Beliau berkata, kerajaan ketika ini berdepan cabaran untuk menangani pandemik Covid-19 dan pemulihan ekonomi selain keperluan pemerkasaan sektor digital.
“Insya-Allah, saya akan berusaha sedaya upaya bagi memikul tugas dan amanah yang diberikan ini sebaik mungkin. Saya berharap akan mendapat kerjasama penuh daripada seluruh saf pegawai dan keluarga KKMM serta agensi-agensi di bawahnya.
“Semoga Allah SWT mempermudahkan segala urusan dan kita dapat bekerjasama dalam satu saf yang tersusun di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.
Katanya, beliau turut menjunjung kasih atas limpah perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah atas perkenan pelantikannya sebagai menteri.
Annuar berkata, beliau mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas kepercayaan Perdana Menteri yang memilihnya sebagai anggota Kabinet. -K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929